POLIS perlu mengkaji permohonan penahanan sementara sebelum menahan pendakwah Dr Zakir Naik, kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim.
Noor Rashid berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum menerima permohonan berhubung penangkapan itu.
“Setakat ini, saya masih belum menerima permohonan, ia perlu melalui prosedur.
“Saya perlu melihat kepada sebabnya dahulu. Jadi sekiranya terdapat permohonan, ia perlu melalui beberapa proses dan kita perlu melihat sebab permohonan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Terdahulu, Agensi Penyiasatan India (NIA) berkata mereka akan menghantar permohonan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk penahanan sementara Zakir Naik, menurut laporan Times of India.
“Berhubung permintaan penahanan sementara, Malaysia, seperti terma perjanjian ekstradisi dengan India, diwajibkan untuk mengesahkan lokasi Naik dalam bidang kuasanya dan menahannya sementara menunggu permohonan permintaan ekstradisi formal oleh India,” kata laporan itu.
Memetik sumber NIA, laporan itu juga menyebut Malaysia perlu menahan Zakir sebaik sahaja permohonan penahanan sementara diterima.
“Sebaik sahaja penahanan dibuat, satu permohonan rasmi ekstradisinya perlu dibuat oleh India dalam tempoh 60 hari,” katanya.
Ia turut menyatakan NIA juga akan memfailkan permintaan baru kepada Interpol esok bagi mendapatkan notis arahan merah (RCN) terhadap pendakwah itu.
Interpol sebelum ini menolak permohonan India untuk RCN ke atas Zakir, yang difailkan pada Mei, atas dasar polis India tidak memfailkan sebarang dakwaan rasmi ke atasnya.
NIA hanya memfailkan kertas pertuduhan terhadap Zakir pada Oktober atas dakwaan menggalakkan belia untuk menyertai aktiviti keganasan dan menyampaikan ucapan kebencian.
Zakir dikehendaki pihak berkuasa India kerana atas dakwaan terlibat dengan keganasan dan penggubahan wang haram. Yayasan Penyelidikan Islam miliknya telah diharamkan di India.
Beliau meninggalkan India pada Julai tahun lalu selepas pengganas di Bangladesh mendakwa mereka terpengaruh dengan ucapan Zakir dan pasport India milik Zakir dibatalkan pada Julai tahun ini.
Zakir yang juga doktor perubatan berusia 52 tahun itu berkata ucapannya hanya untuk menggalakkan keamanan dan mendakwa pihak berkuasa India hanya mensasarkannya kerana beliau beragama Islam.
Zakir turut dihalang memasuki UK dan mempunyai kewarganegaraan Arab Saudi. Beliau turut diberikan status pemastautin tetap di Malaysia lima tahun lalu.
Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Zakir akan dihantar pulang ke India sekiranya pihak berkuasa negara itu memohon ekstradisi ke atasnya. – 25 Disember, 2017.
Komen