Umno jangan jadi juara perpecahan, kata Annuar Musa


Mohd Farhan Darwis

Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa berkata parti perlu elak jadi punca perpecahan kerana ia tidak akan mampu bersendirian dalam pilihan raya umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

UMNO perlu mengelak daripada menjadi sebab kepada perpecahan kerana parti itu tidak akan mampu bergerak sendirian dalam pilihan raya umum, kata Annuar Musa.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata bibit perpecahan itu mula kedengaran sedangkan ia akan memakan diri sendiri.

“Umno mesti memimpin ke arah penyatuan jangan jadi juara dalam perpecahan. Saya tak setuju kalau kita jadi punca perpecahan. Macam kita kuat sangat, itu sikap sombong.

“Umno jangan berkhayalan nak pergi solo. Saya tak setuju kerana saya tak fikir itu formula kemenangan kepada parti. Saya pun sayang kepada parti tapi kalau pendapat saya salah saya terima.

“Realitinya Umno tak boleh bersendirian, Umno perlu belerjasama atas prinsip taawun dan taayun kalau nak berjaya,” kata Annuar.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya yang disiarkan secara langsung hari ini.

Setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata saranan yang dikeluarkannya juga untuk kemenangan Umno sendiri.

Ahli di peringkat bahagian Umno bagaimanapun katanya, bebas bersuara untuk mengemukakan pendapat menolak mana-mana parti.

“Peringkat bahagian bebas tapi akhirnya suara Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian boleh syor macam-macam cuma jangan buat silap.

“Kalau buat ikut emosi kita, sombong kita, superiority kita, penilaiannya adalah pilihan raya.

“Saya nak cari formula kemenangan. Kalau boleh menang kita sendiri tak campur orang oklah, tapi saya tak yakin,” katanya.

Tambahnya, tidak seharusnya perbalahan berlaku dalam perebutan kerusi memandangkan belum ada keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa perundingan.

“Secara kasar prinsip asas dah ada, butiran kerusi mana parti mana baru 70%, perundingan dah ada, jawatankuasa dah bentuk, boleh kata hampir 100 kerusi seperti sudah ada persetujuan antara tiga parti.

“Sekarang tiba-tiba bawa idea tak nak runding dengan Bersatu, nak keluar PN, kaji semula dengan PAS itu jadi celaru. Peringkat awal jelas. Itu semua keputusan parti,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata dalam rundingan berkenaan, antara yang dibincangkan adalah bagi Umno, 55 kerusi Parlimen yang dimenangi akan dipertahankan tambahan 11 kerusi yang Umno mempunyai kelebihan.

“Manakala ada 23 kerusi yang kalau perubahan 5% kita boleh tawan, lebih 80 lebih kerusi sudah kenal pasti…tapi kena duduk bersama dengan kawan kita,” katanya.

Katanya, usul untuk menolak Bersatu akan memburukkan keadaan kerana bakal menjejaskan peluang Umno menang.

“Kalau Umno kerjasama denga Bersatu di Ketereh, saya bertanding, tapi kalau Ketereh tolak Bersatu maka Bersatu kena bertanding.

“Kalau Bersatu tanding dia tanding atas nama PN, dalam itu ada PAS, jadi undi PAS Ketereh nak pergi pada siapa, mesti ke PN. Secara kasar PAS campur PN saya kalah, yang bawa usul untuk kalahkan diri sendiri apa pasal.

“Kena berunding, nama kita berkawan, kena berunding, tidaklah nak balun semua. Kena ada berkongsi. Itu namanya taawun,” kata Annuar. – 2 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen