Jangan lupa daratan, Umno hanya 'tumpang' kerajaan Perikatan, kata Khaled


Mohd Farhan Darwis

Umno tidak boleh lupa daratan sebaliknya harus berpijak di bumi nyata parti itu menumpang dalam kerajaan PN, kata Naib Presidennya Mohamed Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

UMNO tidak boleh lupa daratan sebaliknya harus berpijak di bumi nyata bahawa parti itu hanya menumpang dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presidennya Mohamed Khaled Nordin.

Khaled mengingatkan Umno supaya jangan berlagak seperti tuan kerana ujian sebenar parti itu nanti ialah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita mesti berpijak di bumi yang nyata. Sekalipun Umno dalam kerajaan memerintah kita tak boleh sesekali berlagak sebagai tuan. Ujian sebenar Umno menanti dalam medan pilihan raya umum akan datang.

“Jangan lupa kuasa kita miliki ini dirampas tanpa mandat rakyat sebenar.

“Ingatlah, akhirnya dalam sedikit masa lagi rakyat juga akan tentukan destinasi Umno seterusnya,” kata Khaled, berucap merasmikan mesyuarat agung Umno Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

Khaled yang juga ketua bahagian Umno Pasir Gudang berkata beliau memeri peringatan itu agar ahli Umno sedar akan kedudukan mereka sekarang.

“Saya tak mahu wujudnya sikap sombong dalam diri, sikap lupa daratan, sikap tuan sentiasa hebat tak berkesudahan.

“Hikmah Melayu berpesan bagaimana bunyi gendang begitulah tarinya.

“Namun kita semua bertindak sebaliknya. Kita berfikir bertindak dan bercakap seolah-olah kita kuasai kerajaan,” kata Khaled.

Umno menjadi kerajaan semula selepas percaturan kuasa pada hujung Februari yang menyingkirkan Pakatan Harapan (PH) dari Putrajaya dan beberapa negeri, termasuk Johor.

Susulan penjajaran politik baharu, Umno dan barisan Nasional (BN) mendukung kerajaan baharu yang dibentuk oleh Bersatu bersama PAS serta disokong oleh Gabungan Parti Sarawak serta beberapa ahli Parlimen dari Sabah dan bebas.

Menurut Khaled, Umno kini berada dalam kerajaan kerana PH gagal mentadbir sedangkan hakikatnya Umno sudah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Ingatlah yang kita membentuk kerajaan bukan kerana kita menang pilihan raya. Kita sebenarnya tewas dalam gelanggang demokrasi 2018.

“Kita ditolak, cuma kita bernasib baik kerana kerajaan PH sangat tak berpengalaman,”

Beliau juga mengingatkan Umno kembali berkuasa kerana PH runtuh setelah pemimpinnya sibuk berebut kuasa sehingga lalai dengan kuasa yang ada di tangan.

“Bagai antan bertingkah di lesung, ayam yang kenyang. Kerana mereka bercakaran, kita yang untung. Tetapi apalah yang hendak dibanggakan dengan keadaan sebegini,” katanya.

Jelas Khaled, Umno kini kembali dalam kerajaan bukan kerana parti itu kuat tetapi kerana musuh lemah dan berpecah.

“Kelemahan musuh dieksploitasi dengan kemahiran pencak silat politik luar biasa oleh ahli politik kita sehingga tumbang PH dan terbentuknya PN… bukan kerana kepercayaan rakyat kepada Umno.

“Ya, bukan satu pencapaian yang kita patut berbangga atau mendabik dada,” katanya. – 2 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen