Reformasi Umno terhenti sejak sokong Perikatan, kata Khaled


Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bimbang parti melupakan agenda pembaharuan dan hanyut dibuai kuasa akan menyebabkan ia luput ditelan zaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

USAHA pembaharuan dalam Umno seolah-olah terhenti apabila parti itu mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Khaled bimbang Umno yang melupakan agenda pembaharuan dan hanyut dibuai kuasa akan menyebabkan parti itu luput ditelan zaman.

Beliau mengingatkan realiti bersama kerajaan PN hari ini tidak seindah mana apabila Umno hanya ibarat penumpang.

“Kita semacam melupakan langsung usaha pembaharuan parti. Kita lupa kita pernah dihukum rakyat. Jika kita yang berkuasa dahulu boleh tersungkur dan kalah, apa jaminan ia takkan berlaku sekali lagi kepada parti kita.

“Apatah lagi bila kita hanya dilayan sebagai penumpang dalam kerajaan sekarang,” kata Khaled, berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Pasir Gudang hari ini.

Khaled yang juga ketua bahagian Umno Pasir Gudang menyuarakan kebimbangan,  tanpa usaha pembaharuan, Umno seolah-olah jadi parti yang sempurna tanpa kekurangan dan masalah yang menyebabkan parti kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, seperti selesai begitu sahaja.

“Lihat sahaja semenjak Umno mendukung PN, islah dan pembaharuan Umno kurang kedengaran, seolah masalah sebenar Umno yang menyebabkan Umno kalah telah selesai sebaik sahaja menjadi kerajaan. 

“Tiada siapa yang bercakap tentang usaha reformasi Umno seolah-olah Umno terus sempurna.

“Adalah sangat menyedihkan jika Umno lupa kepada kepentingan pembaharuan dan pembaikan parti kerana tiada jalan terbaik dan terpenting untuk menguasai kerajaan pada masa hadapan kecuali Umno benar-benar berubah dan memaparkan keunggulan yang baru,” kata Khaled.

Bekas menteri besar Johor berkata Umno harus melaksanakan pembaharuan serta kembali kepada asas penubuhan parti iaitu menjadi jurucakap orang Melayu.

Beliau mengakui usaha membetulkan Umno tidak mudah namun ia mesti dilakukan dengan masa depan parti, yang nanti akan diterima oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia umumnya.

“Walaupun jalan islah itu tidak mudah, tanpanya Umno takkan menjadi lebih baik. 

“Tanpa islah Umno takkan dapat yakinkan bangsa Melayu untuk mendukungnya apatah lagi meyakinkan rakyat Malaysia menerimanya,” kata Khaled.

Beliau mengingatkan tanpa pembaharuan, Umno sekadar parti yang bernostalgia akan kenangan masa lampaunya.

“Tanpa itu semua parti itu tidak akan ada mempunyai apa-apa keunggulan. Tanpa keunggulan baru Umno akan menua dengan terus bernostalgia dengan pencapaian lepas dan lampau.

“Untuk kesekian kalinya saya mengajak semua kembali memperbetulkan Umno ini. 

“Mega mendung yang menyelubungi Umno mesti segera berakhir. Dengan islah, awan mendung akan mengirim hujan, sinar matahari akan membawa cerah, air yang surut mengarak pasang, muara sungai mencipta lembah jua.

“Sekalipun islah itu sukar jangan kita tak mencuba dan berusaha menjayakannya. Ia menuntut kerja keras, nilai baru, kecerdasan terbaik, iltizam dan kesungguhan untuk jadi lebih unggul,” katanya.

Semua 191 bahagian Umno di seluruh negara mengadakan mesyuarat agung tahunan sepanjang tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Mesyuarat bahagian termasuk tiga sayap parti ini diadakan menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2020 yang tertangguh sejak tahun lalu dan kini dijadual berlangsung pada hujung bulan ini.  – 2 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen