SURVIVAL Umno dan pengukuhan parti akan jadi isu utama yang dibangkitkan oleh ahli akar umbi Umno dalam mesyuarat bahagian parti yang berlangsung di seluruh negara pada hujung minggu ini, kata penganalisis.
Mereka berpendapat isu itu tidak dapat disembunyikan lagi memandangkan perbahasan berkaitan perkara itu setakat ini hanya berlegar di peringkat elit kepimpinan Umno semata-mata.
Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berpendapat, terdapat percanggahan pendapat di peringkat kepimpinan Umno, yang mana terbahagi kepada dua pola pemikiran iaitu kumpulan yang merasakan Umno harus bersama Perikatan Nasional (PN), atau meneroka gabungan baharu.
“Ada dua jalur bentuk pola pemikiran. Masing-masing akan cuba pengaruhi Bahagian masing-masing antara dua jalur ini untuk lihat ke mana hala tuju mereka.
“Persoalan yang berlaku sekarang hanya kepada pemimpin tertentu di peringkat kepimpinan tidak mendasar ke akar umbi secara struktur parti.
“Apa sahaja yang melibatkan hala tuju, dua jalur ini akan pengaruhi Bahagian, mana satu yang paling ideal dan realistik untuk Umno mara ke hadapan bagi menghadapi PRU15,” kata Hisomuddin.
“Jadi antara 1 hingga 3 Januari ini masanya untuk akar umbi bahaskan perbahasan yang selama ini berlegar sekitar elitis Umno semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, setiap pemimpin juga dijangka akan mengenengahkan pendapat masing-masing untuk diterima perwakilan di peringkat bahagian.
“Nampak yang cuba di ketengahkan Umno Bahagian lebih kepada hala tuju Umno dalam kerajaan PN terutamanya pendirian politik tentang sikap Umno terhadap Bersatu.
“Itu persoalan utama yang berlegar dalam kalangan ahli Umno di peringkat Bahagian. Itu pokok pangkal tumpuan utama mereka.
“Ini melibatkan survival politik Umno, hidup mati Umno bagaimana mereka mahu mendepani cabaran PRU15,” katanya lagi.
Katanya, Umno juga belum mengemukakan sebarang pendirian rasmi mereka berhubung perkara itu, dan mesyuarat kali ini adalah peluangnya.
“Setakat ini tidak dibuat keputusan di peringkat parti. Mereka tak jawab. Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) pun diam, hanya warlord yang bertelagah.
“Ini peluang untuk Bahagian berbahas secara rasmi untuk tahu apa yang berlaku kepada Umno pada masa mendatang,” katanya.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mazlan Ali pula berpendapat, fokus utama perwakilan juga akan menjurus kepada hubungan parti itu dengan PN.
“Jadi mereka kena buat keputusan duduk gabungan mana. Umno dengan Bersatu banyak masalah, Umno lihat Bersatu nak kuasai keadaan sedangkan Umno rasa dia ‘abang besar’, ini akan jadi fokus mesyuarat.
“Akar umbi parti sudah pasti akan fokus kepada pengukuhan parti. Saya jangka mereka akan buat simulasi, gabungan mana (yang patut disertai)... mungkin Umno sudah ada simulasi mereka,” katanya.
Pensyarah dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berpendapat, melalui mesyuarat itu, akar umbi dijangka akan menuntut ‘pembersihan’ parti dilakukan.
Lebih-lebih lagi katanya di bahagian yang mana wakil rakyat mereka beralih ke Bersatu.
“Perwakilan dijangka bahaskan bagaimana nak kuatkan parti dan lakukan pembersihan dalam parti.
“Apa pendirian mereka tentang kawasan mereka yang wakil rakyat mereka telah melompat keluar daripada Umno ke Bersatu. Apa keputusan mereka terhadap kerusi tersebut, apakah dibiarkan atau pertahankan kerusi tradisi
“Saya kira ini berkaitan kedudukan kerusi yang wakil rakyat mereka telah lompat ke parti lain, perlu buat keputusan, lepaskan atau rampas semula.
“Pendirian merrka mesti kuat. Bukan pandangan daripada atas ke bawah ini pandangan daripada bawah ke atas,” katanya.
Beliau berkata, perwakilan juga mencari resolusi agar dapat memastikan kestabilan politik nasional.
“Apa resolusi peranan Umno untuk pastikan kestabilan politik nasional dan parti dilihat pulih dan bangkit untuk kuatkan kedudukan parti diperingkat bawah sampai atas.
“Mereka juga harus bahaskan apa peranan Bahagian untuk kestabilan politik dan ekonomi nasional,” katanya lagi. – 2 Januari, 2021.
Komen