AMERIKA Syarikat (AS) mencatatkan lebih 20 juta kes Covid-19, menurut Universiti Johns Hopkins pada Jumaat.
AS setakat ini mencatatkan 20,007,149 kes dan 346,408 kematian akibat wabak itu, kata universiti yang berpangkalan di Baltimore, menjadikannya ia negara mempunyai paling tinggi jumlah kes dan kematian setakat ini.
Pada Rabu sahaja, lebih 3,900 orang mati akibat Covid-19 di AS, dan pakar percaya ia akan bertambah buruk dengan petugas kesihatan bakal menyaksikan lonjakan kes dan kematian susulan musim cuti.
Lebih 125,000 orang kini dirawat di hospital, menurut Covid Tracking Project.
Negara ini memulakan kempen vaksinasi secara besar-besaran dan hampir 2.8 juta orang sudah menerima suntikan pertama mereka, berbeza dengan sasaran 20 juta yang dijanjikan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump pada akhir tahun ini.
Lebih 12 juta dos diedarkan di seluruh negara, menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit, tetapi usaha memvaksinasi pekerja kesihatan dan golongan berisiko terhalang oleh masalah logistik serta bebanan pihak hospital dan klinik.
Presiden Joe Biden, yang mengambil alih jawatan pada 20 Januari, mengkritik isu berkaitan pemberian vaksin dan minggu ini mengesahkan beliau akan menggunakan Undang-Undang Pengeluaran Pertahanan era Perang Korea untuk memaksa industri swasta meningkatkan produksi untuk kerajaan.
Beliau meminta rakyat Amerika memakai pelitup mula untuk memperlahankan penyebaran Covid-19 dan berkata akan memberikan mandat untuk menutup muka di kawasan di mana kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasa, seperti kapal terbang.
Menurut Johns Hopkins, AS mengambil masa beberapa bulan untuk mencapai 10 juta kes pada 9 November, sebelum mendadak naik kepada 20 juta kes pada Jumaat.
Selepas AS, negara paling teruk dilanda adalah Brazil dengan 194,949 kematian daripada 7,675,973 kes, dan India dengan 148,994 kematian daripada 10,286,709 kes. – AFP, 2 Januari, 2021.
Komen