Perancis bimbang penularan Covid-19 selepas 2,500 orang hadir pesta haram


Pengunjung menari ketika pesta haram sempena sambutan Tahun Baru di Lieuron yang mencetuskan kebimbangan penularan Covid-19. – Gambar EPA, 2 Januari, 2021.

KIRA-KIRA 2,500 orang hadir pesta haram sempena sambutan Tahun Baru di barat laut Perancis, bertempur dengan polis yang gagal menghentikannya, sekaligus mencetuskan kebimbangan kemungkinan penularan koronavirus, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Mereka membuat sambutan itu di Lieuron, selatan Rennes di Brittany, selepas bertengkar dengan polis, kata satu kenyataan daripada pihak berkuasa tempatan. 

Ramai yang masih berada di lokasi pada Jumaat ketika kerja pembersihan dilakukan.

Polis tempatan cuba menghalang acara daripada berlangsung tetapi berdepan tentangan keras daripada pengunjung pesta yang membakar kereta serta melemparkan botol dan batu.

Mereka yang hadir bukan sahaja dari seluruh Perancis, bahkan juga dari luar negara, katanya.

Menjelang petang Jumaat, suara muzik tekno masih kedengaran dari tapak pesta, walaupun polis menghalang pengunjung baharu menyertai, menurut seorang jurugambar AFP.

“Kawalan polis dibuat di sekitar kawasan acara. Amaran lisan diberikan kepada semua orang agar meninggalkan tempat itu,” kata polis di media sosial.

Bercakap kemudian di TV BFM, jurucakap kementerian dalam negeri Camille Chaize berkata berlaku keganasan terhadap kuasa undang-undang tanpa memberitahu bila polis dapat memasuki lokasi sambutan tersebut.

Perhimpunan besar-besaran seperti itu dilarang sama sekali di seluruh Perancis untuk mencegah penyebaran Covid-19, dan perintah berkurung pukul 8.00 malam di seluruh negara - yang tidak ditarik balik bagi Tahun Baru - dikenakan di seluruh negara.

Laporan berkata pesta sambutan diadakan di gudang kosong milik syarikat simpanan.

Pendakwa raya membuka siasatan terhadap penganjuran haram perjumpaan muzik dan melakukan keganasan terhadap invidiu yang diberi kuasa.

Kenderaan yang didaftarkan dari seluruh Perancis masih diparkir di lokasi pada Jumaat.

Tiada penjarakan sosial

Pengunjung yang ditemuramah oleh AFP berkata terdapat ada yang hadir dari luar negara seperti Sepanyol dan Britain.

Seorang peserta, yang memberikan namanya sebagai Jo dari wilayah Alsace di timur Perancis berkata mereka semua bertemu di tempat yang dirancang pada Khamis malam di tempat letak kereta pusat membeli-belah.

Kemudian, secara berkonvoi menuju ke Lieuron, di mana polis berusaha menghalang mereka melepasi, katanya.

Beliau mengakui “sangat sedikit yang menghormati penjarakan sosial” pada acara itu, yang sepatutnya berakhir pada Sabtu.

Pihak berkuasa Perancis bimbang pesta-pesta besar-besaran sepanjang wabak, tetapi malam Tahun Baru menjadi perhatian utama.

Di bandar selatan Marseille, pasukan keselamatan menghentikan pesta haram yang mengumpulkan kira-kira 300 orang, kata polis. 

Lebih 50 orang diberi amaran, dan tiga orang yang disyaki menjadi penganjur ditangkap.

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin berkata 132,000 polis dikerahkan di seluruh Perancis bagi memantau sambutan Tahun Baru untuk memastikan keselamatan dan perintah berkurung dipatuhi.

Darmanin berkata di Twitter pada Jumaat, beliau bekerjasama dengan pegawai tempatan untuk memastikan semula situasi normal dan pada masa sama menjaga keselamatan orang ramai. – AFP, 2 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen