Pakar ekonomi cadang naik taraf landasan kereta api KL-JB 


Ragananthini Vethasalam

Malaysia dan Singapura gagal bersetuju mengenai beberapa isu dalam projek HSR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

LEBIH baik menaikkan landasan kereta api sedia ada antara Kuala Lumpur (KL) dan Johor daripada menukar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dibatalkan kepada rangkaian kereta api domestik.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie berkata terdapat juga persoalan mengenai perlunya sistem HSR untuk menghubungkan KL-Johor.

“Kita mempunyai landasan sedia ada dari KL ke Johor Baru. Anda hanya perlu menaik taraf landasan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lee berkata pasti banyak yang sudah dipertimbangkan apabila keputusan menamatkan perjanjian itu dibuat kerana ia melalui beberapa rundingan.

“Ia adalah sesuatu yang dibangkitkan sejak pentadbiran sebelum ini. Saya percaya sebelum mereka mengemukakan cadangan ini, beberapa kajian sudah dibuat,” katanya.

“Ia bukan sesuatu yang diputuskan dalam masa setahun.”

Sementara itu, Alliance DBS Singapura berkata dalam notisnya awal bulan ini, tanpa penyertaan Singapura dalam projek HSR, hubungan terakhir antara kedua-dua negara akan melalui rojek Sistem Transit Rapid Johor Baru-Singapura (RTS).

“Terdapat dua usaha sama rakan kongsi projek diberikan untuk HSR sebelum PRU14 - bahagian utara (Gamuda-MRCB JV) dan bahagian selatan (YTL dan TH Properties JV).

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak berkata dalam catatan Facebook sejurus selepas pengumuman negara akan kehilangan peluang memperoleh trilion ringgit bagi tempoh 20 tahun akan datang jika HSR KL-Singapura digantikan dengan HSR Johor Baru-KL.

Beliau berkata projek bernilai RM60 bilion, yang dirancang semasa pentadbirannya akan meningkatkan kedatangan pelancong dari Singapura sebanyak 50%. 

Ini juga membolehkan Malaysia memperoleh RM12.5 bilion setahun daripada perbelanjaan rakyat Singapura di Malaysia.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini, Malaysia dijangka membayar kira-kira  RM65 bilion bagi HSR, tidak termasuk kereta api, jika ia melaksanakan projek itu sendiri.

Najib berkata, kos HSR KL-JB tidak akan jauh berbeza dengan kos asal RM60-68 bilion dengan penyertaan Singapura.

Menghantikan projek kereta api di Johor Baru juga akan menyebabkan bilangan penumpang berkurangan dari 8.4 juta setahun kepada 4.2 juta pada 2031.

Bekas perdana menteri itu berkata ini akan meninggalkan kesan besar dari segi harga tiket, yang akhirnya mengakibatkan kerugian.

“Jika ditukar ke JB sahaja dan menjadi lebih perlahan berbanding kelajuan asal sebanyak 350 km/sejam, projek ini tidak boleh bersaing lagi dengan sektor penerbangan KL ke Singapura,” katanya.

“Sektor penerbangan ini adalah paling sibuk dalam dunia dan HSR dijangka boleh menurunkan kos tiket, jumlah tempoh perjalanan dan juga pencemaran udara sebab tren elektrik adalah lebih efficient dan kurang mencemar,” katanya.

Singapura dan Malaysia mengadakan perjanjian dua hala untuk projek itu pada 2016.

Projek ini dibekukan pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum. 

Kerajaan baharu meminta dan menerima penangguhan dua tahun dari Singapura, dan membayar sebanyak S$15 juta (RM45.6 juta) bagi tujuan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed berkata syarat perjanjian, yang ditandatangani pada 2016, tidak lagi dapat dilaksanakan memandangkan keadaan fiskal negara terjejas kerana keadaan ekonomi semasa akibat Covid-19.

Putrajaya mencadangkan beberapa perubahan sejak pertengahan 2019, termasuk struktur projek, penjajaran dan reka bentuk stesen.

“Namun, kami tidak dapat mencapai kesepakatan mengenai perubahan ini. Oleh itu, perjanjian tersebut telah berakhir pada 31 Disember 2020,” tambah Mustapa.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia akan membayar ganti rugi berhubung kos yang timbul akibat penamatan perjanjian.

Mustapa berkata Malaysia akan menunaikan tanggungjawabnya berdasarkan perjanjian dua hala HSR yang ditamatkan dengan Singapura dan akan menentukan jumlah pampasan.

Beliau menambah bahawa kerajaan akan mengkaji pilihan lain, termasuk menjadikan HSR sebagai projek domestik. – 2 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen