PAKAR kesihatan memohon maklumat lebih terperinci didedahkan mengenai kluster jangkitan dan lokasinya selepas menyaksikan kes Covid-19 terus meningkat.
Mereka berkata sebagai permulaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengenal pasti kluster dengan nama dan lokasi yang tepat bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat
Prof madya epidemiologi perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr Malina Osman berkata penting bagi kluster jangkitan ini diketahui dengan nama sebenarnya.
“Setakat ini KKM hanya menyampaikan data yang relevan mengenai wabak ini; namun situasi tertentu berkaitan dengan kluster harus diberitahu kepada masyarakat melalui nama dan lokasinya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kami sudah mengemukakan masalah ini, tetapi kementerian masih mengeluarkan maklumat dengan memberikan nama kluster yang tidak dikenali kepada masyarakat.
“Kami tertanya-tanya mengapa dalam isu wabak denggi, KKM boleh memberikan perincian mengenai lokasi dan daerah yang terjejas tetapi tidak ketika wabak Covid-19 melanda,” tambahnya.
Ketika ditanya apakah perlu kementerian mendedahkan maklumat mengenai keadaan di hospital yang merawat pesakit Covid-19, Malina berkata bahawa hal itu boleh disimpan sebagai maklumat dalaman.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar bersetuju dengan Malina mengenai keperluan orang ramai mengetahui lokasi sebenar kluster dan butiran kes.
“Kementerian tidak begitu telus dengan perincian kes dan kluster. Mereka berkata kes terkawal tetapi kes dan kluster baharu terus dikesan,” katanya.
Laksana semula PKP?
Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac untuk mengekang wabak itu selepas jumlah kes mencecah 500 tetapi ia dilonggarkan pada Julai.
Gelombang ketiga jangkitan yang bermula pada akhir September mengakibatkan PKP bersyarat, dengan jumlah kes harian baru berterusan pada empat angka sejak itu.
Kebimbangan timbul akan kemungkinan berlakukan bebanan sumber kementerian memandangkan kes terus meningkat, dengan gesaan baharu agar perintah sekatan lebih ketat dilaksana untuk mengekang wabak.
Bagaimanapun, Zainal berkata Malaysia tidak sepatutnya melaksanakan PKP sekali lagi.
Beliau berkata sebaliknya kerajaan perlu terus melakukan mitigasi, yang meliputi ujian terhadap mereka yang mengalami gejala, mengasingkan dan menangani kes teruk serta menguatkuasakan prosedur operasi standard.
Malina, sebaliknya berkata PKP adalah paling ideal pada masa ini walaupun ia tidak akan menguntungkan ekonomi.
“Memandangkan kita terpaksa mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan, komitmen serius daripada individu diperlukan untuk membantu mengurangi jumlah kes saat ini. Kami berharap vaksin segera tersedia di negara kita,” katanya.
“Dalam wabak apa pun, keberhasilannya memerlukan komitmen daripada pembuat polisi, masyarakat, dan juga usaha kolaborasi daripada semua agensi pelbagai sektor termasuk warga negara bukan Malaysia.
“Namun, persepsi semasa lebih kepada kerajaan; seolah-olah tanggungjawab ini semuanya perlu diselesaikan oleh pemerintah, ”tambahnya.
Beliau berkata rakyat harus mengikuti arahan mudah mengenai pencegahan Covid-19. – 2 Januari, 2021.
Komen