KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan tiga kluster baharu Covid-19 termasuk satu kluster yang melaporkan lebih 100 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata kluster baharu menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini sebanyak 224.
Dua daripada tiga kluster dikaitkan dengan tempat kerja.
Kluster Rawa Akasia di Pulau Pinang melaporkan 117 kes.
Kes-kes yang berkaitan dengan kluster ini dikesan di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.
Sementara itu kluster tempat kerja kedua dikenali sebagai Jalan Perindustrian di Kulai, Johor yang telah menjangkiti 20 orang.
Kementerian juga melaporkan kluster ketiga dengan 18 jangkitan yang dikenali sebagai Rantau Semarak.
Kes dari kluster ini dikesan di Maran, Pahang dan Gombak, Selangor.
Noor Hisham juga berkata bahawa empat kluster berakhir hari ini selepas 28 hari tempoh pengawasan.
Empat kluster itu adalah Bukit Dalam, Chengal, Penjara Reman dan Avenue. – 1 Januari, 2021.
Komen