BRITAIN semalam umum seramai 950,000 penduduknya itu telah menerima suntikan vaksin Covid-19, ketika kes di negara itu melonjak.
Menurut data rasmi yang dikeluarkan kerajaan, seramai 944,539 orang sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer/BioNTech setakat Ahad.
Suntikan vaksin kedua, yang dibangunkan syarikat farmasi Britain AstraZeneca bersama Oxford University, pula akan diberi mulai minggu depan, kata Kementerian Kesihatan.
Menterinya Matt Hancock berkata angka tersebut menunjukkan Perkhidmatan Kesihatan Nasional Britain (NHS) sedang melaksanakan tugas yang amat besar dalam usaha menangani pandemik Covid-19.
Hancock menjangkakan lebih banyak jumlah vaksin akan diperolehi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Perdana Menteri Boris Johnson dalam ucapan sempena Tahun Baru turut menegaskan NHS kini memikul bebanan yang tinggi dalam menangani lonjakan kes Covid-19.
Kes Covid-19 di Britain melonjak disebabkan penularan varian baharu yang lebih mudah berjangkit. – AFP, 1 Januari, 2021.
Komen