Vaksin Pfizer-BioNTech dapat pengesahan WHO


EHO berkata pengesahan itu akan membuka jalan kepada semua pegawal selia perubatan setiap negara meluluskan import dan pengedaran vaksin  Pfizer-BioNTech. – Gambar EPA, 1 Januari, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) semalam memberi pengesahan penggunaan kecemasan kepada vaksin Pfizer-BioNTech, yang akan membuka jalan kepada negara di seluruh dunia segera meluluskan import dan edarannya.

Britain negara pertama melancarkan program suntikan vaksin yang dibangunkan syarikat farmasi Amerika Syarikat (AS) dan Jerman itu, diikuti AS, Kanada dan negara-negara Kesatuan Eropah.

Pegawai kanan WHO, Mariangela Simao, dalam satu kenyataan berkata vaksin Pfizer-BioNTech adalah yang pertama mendapat pengesahan pertubuhan itu sejak virus Covid-19 mula-mula dikesan di China setahun yang lalu.

“Ini merupakan langkah positif ke arah memastikan akses global ke atas vaksin Covid-19.

“Namun, saya ingin menegaskan perlunya usaha global yang lebih besar untuk mencapai bekalan vaksin mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk di seluruh dunia,” katanya.

Menurut WHO, pengesahan itu akan membuka jalan kepada semua pegawal selia perubatan setiap negara meluluskan import dan pengedaran vaksin  Pfizer-BioNTech.

Ia juga membolehkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Organisasi Kesihatan Pan Amerika (PAHO) mendapatkan vaksin berkenaan untuk diedarkan ke negara-negara yang memerlukan.

WHO menggunakan khidmat pakarnya sendiri dari seluruh dunia untuk mengkaji data mengenai aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti vaksin Pfizer-BioNTech, serta manfaat dan risikonya.

“Kajian mendapati, vaksin tersebut memenuhi kriteria keselamatan dan keberkesanan yang ditetapkan oleh WHO, serta manfaat penggunaannya untuk menangani Covid-19,” katanya. – AFP, 1 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen