THAILAND memperoleh tambahan sekurang-kurangnya dua juta dos vaksin Covid-19 yang akan dihantar antara Februari dan April ini, kata Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.
Anutin yang juga menteri Kesihatan Awam berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Rabu telah mengarahkannya supaya berbincang mengenai pemerolehan tambahan vaksin Covid-19 dengan pengeluar.
Bulan lepas, Thailand menandatangani perjanjian dengan firma farmaseutikal multinasional Britain-Sweden, AstraZeneca Plc untuk mendapatkan 26 juta dos vaksin Covid-19 untuk imunisasi 13 juta orang sebelum Mei.
“Selepas rundingan, dijangkakan sekurang-kurangnya dua juta lagi dos vaksin Covid-19. Saya telah memaklumkan perdana menteri (Prayuth) dan beliau menyokong pemerolehan tersebut,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya semalam.
Namun Anutin yang kini menjalani kuarantin di rumah setelah bertemu gabenor Samut Sakhon yang disahkan positif Covid-19 pada 28 Disember, tidak menyatakan negara pengeluar bagi vaksin tambahan itu. – Bernama, 1 Januari, 2021.
Komen