PUTRAJAYA perlu mendedahkan perjanjian perolehan vaksin Covid-19 kerana ia membabitkan jumlah wang yang besar, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ia mesti didedahkan. Ini yang kita (Pakatan Harapan) janjikan.
“Secara rahsia ini tak boleh diterima. Kita perlu tahu semua yang berlaku dalam kerajaan apabila wang kerajaan yang banyak digunakan, katanya pada sidang media selepas majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Shah Alam, hari ini.
Kerajaan mempertuntukkan RM2.05 bilion bagi perolehan 26.5 juta vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada 26.5 juta rakyat Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada minggu lalu berkata beliau sedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perolehan vaksin Covid-19 termasuk kosnya secara terperinci.
Namun, jawatankuasa itu perlu mematuhi syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin, katanya. – 31 Disember, 2020.
Komen