Kerajaan kesal tindakan AS sekat minyak sawit Sime Darby


KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kesal dengan tindakan drastik Amerika Syarikat (AS) yang menyekat kemasukan minyak sawit Malaysia ke negara itu susulan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri sawit di negara ini.

Menterinya Mohd Khairuddin Aman Razali berkata meskipun insiden ini bukan satu perkara yang mengejutkan, namun KPKK tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan AS yang tidak memberi peluang kepada Sime Darby Plantation Berhad (SDP) untuk membuktikan dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas.

“KPPK mengakui pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun begitu kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada 2018.

“Hasil kajian ini juga dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lepas. Berdasarkan kajian tersebut juga, kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) berhak untuk mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

Justeru, katanya kerajaan melalui KPPK komited bahawa tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar.

Semalam, CBP telah melarang import minyak sawit dan semua produk sawit yang dikeluarkan SDP susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa di syarikat tersebut.

Sebelum ini tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd atas dakwaan yang sama dan disangkal oleh syarikat berkenaan.

Tindakan itu bagaimanapun tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO ke atas FGV.

Justeru, KPPK yakin SDP juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas itu dalam isu terkini yang melibatkan SDP. – Bernama, 31 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen