TIDAK adil bagi rakyat marhaen membayar denda yang besar kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tetapi pada masa sama ahli politik atau tokoh ternama lain terlepas tanpa sebarang hukuman, kata Charles Santiago daripada DAP
Beliau berkata, kerajaan harus menyelaraskan pelaksanaan SOP agar tidak berlaku “pilih kasih”.
“Adakah menteri, tokoh korporat kaya-raya dan lain-lain yang tidak peduli mengikuti SOP memahami mesej ini.
“Kami, rakyat Malaysia biasa, mengikuti protokol dan SOP. Sudah sampai masanya ahli politik dan pemilik konglomerat juga berbuat perkara yang sama,” kata ahli Parlimen Klang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk bagaimana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang terlepas daripada dikenakan tindakan selepas tidak menjalani kuarantin selepas kembali dari Turki.
Beliau juga berkata sebuah syarikat sarung tangan terkenal hanya dikenakan denda kecil kerana melanggar SOP bagi pekerjanya.
Charles menegaskan kerajaan tidak sepatutnya mengambil mudah apabila ia melibatkan kumpulan ini kerana mereka juga akan mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia.
“Sudah tiba masanya mereka yang melanggar langkah keselamatan dan campur tangan ahli politik dalam langkah pencegahan dijatuhkan hukuman, dipenjara dan dijatuhi hukuman berat,” katanya.
“Adakah kita benar-benar mendapat pengajaran? Kilang sarung tangan getah di Klang berjaya mengelak daripada ditutup dan dikenakan denda hanya RM1,000 kerana tidak mematuhi langkah pencegahan Covid-19 dan menyediakan tempat tinggal yang teruk bagi pekerja mereka.
“Sebagai perbandingan, berapa banyak rakyat Malaysia miskin dikenakan denda lebih berat dan bahkan hukuman penjara kerana gagal mengimbas kod QR menggunakan aplikasi My Sejahtera?” kata Charles.
Beliau juga berkata kerajaan melonggarkan langkah pencegahan walaupun jumlah kes harian mencapai empat angka, berbeza dengan langkah berjaga-jaga yang diambil ketika virus pertama kali menyerang.
“Pematuhan protokol pada Mac dan beberapa bulan berikutnya lebih baik tetapi sekarang kita mempunyai empat digit kes setiap hari, adakah tidak mengapa melanggarnya?
“Terutama ketika mereka yang diuji positif terpaksa menunggu di rumah kerana katil hospital tidak mencukupi? Adakah ini wajar?”
Malaysia mencatatkan 110,485 kes keseluruhan semalam dengan 22,562 adalah kes aktif. Terdapat 1,870 kes baharu semalam dengan Johor mencatatkan 602 kes diikuti Selangor (472) dan Sabah (280). Terdapat enam kematian. – 31 Disember, 2020.
Komen