PEMATUHAN ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan faktor kebersihan menyumbang kepada penurunan jumlah kes influenza tahun ini sebanyak 70%, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Sekitar waktu ini tahun lalu, Malaysia berdepan kesukaran bergelut dengan peningkatan kes influenza, sebelum berlakunya Covid-19 di negara ini.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor berkata tiada trend peningkatan kes influenza tahun ini.
“Malah, kes influenza yang dicatatkan sepanjang 2020 menunjukkan penurunan 70%, susulan pematuhan SOP dan amalan kebersihan yang baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ia membuktikan langkah diambil untuk membendung penularan Covid-19 memberi kesan positif dalam mengawal penyakit berjangkit lain termasuk influenza daripada merebak.
Dr Wan Noriani berkata trend itu bukan saja di Malaysia, tetapi banyak tempat di dunia.
Walaupun influenza berlaku sepanjang tahun, biasanya akan ada lonjakan kes antara Julai dan September atau hujung tahun.
Perkara sama berlaku pada Disember tahun lalu, yang membawa kepada peningkatan permintaan vaksin.
Terdapat 118 kes influenza A pada dua minggu pertama tahun ini tetapi jumlah kes sudah menurun.
Majoriti kes dilaporkan tahun lalu adalah dalam kalangan murid sekolah.
Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi pada masa itu dengan lebih 800 kanak-kanak sekolah dijangkiti sementara dua sekolah di Perak dan Sabah dituutp sementara kerana wabak influenza yang membimbangkan ibu bapa.
Gejala influenza termasuk demam tiba-tiba, batuk (biasanya kering), sakit kepala, sakit sendi dan otot, sakit tekak dan selesema.
Walaupun influenza dan Covid-19 adalah penyakit pernafasan yang berjangkit, kedua-duanya berpunca daripada viru berbeza.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, influenza mempunyai tempoh inkubasi median lebih pendek dan interval bersiri lebih pendek, berbanding virus Covid-19. – 31 Disember, 2020.
Komen