KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan lapan lagi kluster baharu Covid-19 hari ini iaitu tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Selangor, Johor, Pahang, Kedah serta Perak.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh Malaysia kini sebanyak 506 manakala kluster aktif yang dipantau ialah 223.
Beliau berkata di Kuala Lumpur, kluster pertama yang dikesan ialah Kluster Tapak Bina Jalan Stesen melibatkan penularan di tempat kerja di daerah Lembah Pantai.
“Kes pertama bagi kluster ini (iaitu kes ke-94,863) dilaporkan positif Covid-19 pada 21 Disember melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, sejumlah 607 individu disaring dengan 54 dikesan positif,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.
Kluster Slot Berjaya, yang melibatkan penularan di tempat kerja dan dalam daerah sama, dikesan hasil saringan bersasar di tempat kerja hari ini dan sehingga kini, seramai 44 individu disaring dengan sembilan kes positif dilaporkan.
COVID-NOOR HISHAM (KLUSTER) 2 KUALA LUMPUR
LAPAN LAGI KLUSTER BAHARU - 2
Kluster Jalan Nikolas pula dikesan di daerah Titiwangsa melibatkan kes indeks (ke-107,921) yang dilaporkan positif COVID-19 pada 29 Dis hasil saringan di tempat kerja dan sehingga kini, sejumlah 54 individu disaring dengan enam didapati positif.
Di Johor, Kluster Tembok Choh dikesan melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing hasil saringan bersasar di sebuah pusat tahanan sejak 24 Dis dan sehingga kini, seramai 1,020 individu disaring dengan 382 kes dikesan positif COVID-19.
Dr Noor Hisham berkata di Selangor, Kluster Tapak Bina Broga Kluster dikesan di daerah Hulu Langat melibatkan penularan di tempat kerja iaitu sebuah tapak binaan.
“Kes-Kes positif mula dilaporkan pada 27 Disember hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan sehingga kini, seramai 318 individu disaring dengan 64 daripadanya positif COVID-19,” katanya.
Beliau berkata Kluster Gerbang Pongsu pula dikesan di daerah Kerian dan Kinta di Perak dengan kes indeks (ke-100,176) dilaporkan positif pada 24 Dis hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, seramai 53 individu disaring dengan lapan kes positif.
Di Pahang, Kluster Damai Ketari melibatkan daerah Bentong melibatkan kes indeks (ke-108,567) dilaporkan positif semalam hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini, seramai 65 individu disaring dengan 21 kes dikesan positif.
Kluster terakhir adalah Kluster Alor melibatkan daerah Kota Setar di Kedah serta daerah Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.
“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-101,128) dilaporkan positif Covid-19 pada 25 Disember melalui saringan individu bergejala. Setakat hari ini, 33 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat lima kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Sungai Mulia di Kuala Lumpur, Kluster Assumption di Pulau Pinang, Kluster Blok 31 di Sabah serta Kluster Tanjung Bunga dan Kluster Jeri di Johor. – Bernama, 30 Disember, 2020.
Komen