Johor catat kes harian Covid-19 tertinggi


Ragananthini Vethasalam

Kes baharu Covid-19 yang direkod hari ini menjadikan jumlah kes meningkat kepada 110,485 sementara kes aktif sebanyak 22,562. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2020.

UNTUK pertama kali Johor mencatatkan jumlah harian Covid-19 tertinggi apabila kluster penjara Tembok Choh menyumbang lebih 300 kes hari ini.

Negeri ini menyumbang 607 kes daripada 1,870 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata kes baharu Covid-19 yang direkod hari ini menjadikan jumlah kes meningkat kepada 110,485 sementara kes aktif sebanyak 22,562.

Selangor sebaliknya melaporkan jumlah kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 472 diikuti Sabah dengan 280 kes.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia juga melaporkan lapan kluster baharu hari ini termasuk Tembok Choh.

Bagi kes pulih Noor Hisham berkata, seramai 745 orang dibenarkan keluar dari hospital selepas pulih dari koronavirus dalam tempoh 24 jam terakhir.

Dengan ini jumlah pesakit pulih dari koronavirus kini berjumlah 87,460.

Sebanyak enam kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian nasional seramai 463 orang.

Sementara itu seramai 131 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 62 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 30 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen