COLORADO, Amerika Syarikat (AS) melaporkan kes pertama varian baharu Covid-19 yang mudah berjangkit dan ditemui di Britain baru-baru ini, kata gabenor negeri itu semalam.
“Kami mengesan kes pertama varian baharu Covid-19 B.1.1.7, yang sama dikesan di UK,” umum Jared Polis di Twitter.
Beliau turut melampirkan kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya dan jabatan kesihatan negeri, yang menyebut pesakit berkenaan adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.
Individu tersebut kini menjalani kuarantin di Elbert County dan tiada sejarah perjalanan ke luar negara, menurut kenyataan itu.
Washington Post melaporkan Colorado negeri pertama di AS yang melaporkan varian baharu Covid-19 dari UK. Dua kes pertama dikesan hujung minggu lalu di negara jirannya, Kanada.
Menurut Pusat Kawalan Penularan Wabak Eropah (ECDC), lebih 3,000 kes membabitkan varian baharu Covid-19 telah direkodkan di Britain, selain di Eropah dan negara lain di seluruh dunia. – AFP, 30 Disember, 2020.
Komen