Pusat Koreksional Kamunting dan kuarters dikenakan PKPD


Pusat Koreksional Kamunting dan kuarters di Taping, Ipoh bermula 30 Disember hinga 12 Januari tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2020.

PUSAT Koreksional Kamunting dan kuarters kakitangannya di Taping, Ipoh diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan berkata kemudahan itu akan berada di bawah PKPD berkuatkuasa 30 Disember hingga 12 Januari.

“Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 di Pusat Koreksional Kamunting.

“Pada 24 Disember, Kementerian Kesihatan sudah melakukan 1,490 pemeriksaan dan 50 tahanan didapati positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata berdasarkan nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan mereka memutuskan untuk melaksanakan PKPD.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan mengawal kluster yang ada dan mencegah penyebaran virus kepada tahanan lain, kakitangan, anggota keluarga dan masyarakat di luar kemudahan.”

Semalam, Malaysia mencatatkan 1,564 kes Covid-19 dengan Selangor melaporkan jumlah jangkitan baharu tertinggi.

Selangor mencatatkan 697 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 194, dan Johor (191).

Tiga pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 455. – 29 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen