SIBUK bekerja bukan alasan untuk ibu bapa mengabaikan pemakanan seimbang anak-anak sehingga menyebabkan pembesaran mereka terbantut kerana kekurangan zat makanan, kata pakar.
Ibu bapa sebaliknya perlu serius memastikan anak-anak mereka mengambil makanan yang seimbang, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong.
Menurutnya, ibu bapa yang bekerja mesti berdisiplin dan bijak mengagihkan masa bagi menyediakan makanan sihat untuk anak-anak mereka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengasuh atau taska.
Kata Dr Tee, menyediakan makanan sihat sebagai bekal bukanlah sukar kerana ia hanya mengambil masa tidak sampai 15 minit sahaja.
Dr Tee mengulas hasil Kaji Selidik Kesihatan Negara dan Morbiditi 2016 yang mendapati 28% kanak-kanak berusia 12 hingga 23 bulan di Putrajaya terbantut disebabkan kekurangan zat yang kronik.
Di peringkat nasional, 20.7% kanak-kanak di bawah umur lima tahun terbantut.
Tinjauan rambang The Malaysian Insight dalam kalangan 10 keluarga di Putrajaya mendapati enam daripadanya tidak menyediakan bekal sebaliknya bergantung kepada pusat penjagaan harian untuk memberi makanan yang sempurna kepada anak-anak mereka.
Menurut Dr Tee, antara menu paling mudah untuk sarapan ialah telur hancur, sandwic dan pau kacang.
“Untuk pagi, boleh buat roti telur, sardin, tuna ataupun sandwic dengan hirisan daging tetapi jangan ambil (daging) yang berlemak atau pau kacang yang distim.
“Untuk tengahari boleh sediakan nasi atau mee goreng tapi perlu letakkan sayuran dan sebagainya.
“Sandwich amat mudah kerana boleh disediakan sebelum tidur dan disimpan di dalam peti ais,” katanya.

Pantau menu di taska
Selain meningkatkan pengetahuan tentang pemakanan seimbang, ibu bapa juga perlu ambil tahu menu yang disediakan di taska mahupun pengasuh, dan bukan bersikap lepas tangan, kata Dr Tee.
“Kalau hari ini makan ayam, esok perlu makan ikan dan sayur. Buah paling penting untuk kanak-kanak. Kadang-kadang kena tukar kerana setiap makanan mempunyai zat yang berbeza.
“Justeru, bawa bekal adalah paling baik untuk memastikan nutrisi anak yang berusia bawah tiga tahun,” katanya.
Hiasan kreatif rangsang selera
Dalam pada itu, Dr Tee menyarakan ibu bapa agar menyajikan makanan secara kreatif untuk menggalakkan selera anak-anak terhadap hidangan yang berzat.
“Bento hiasan untuk bekal sangat bagus. Kalau anak tidak makan sayur, boleh buat hiasan untuk menarik minatnya,” kata beliau.
Pendekatan kreatif itu diakui berkesan bagi seorang ibu kepada tiga anak, Nor Khaliza Wati MohadKholil, 36, apabila mahu menggalakkan anak-anaknya makan sayur dan buah-buahan.

“Saya bangun awal untuk menyediakan bekalan. Anak-anak saya cerewet makan. Ada anak yang tidak gemar sayur, tetapi mengatasinya dengan menjadikannya hiasan agar nampak menarik.
“Setiap menu saya akan pastikan makanannya berkhasiat dan cukup nutrisi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nor Khaliza juga mengakui menu mudah seperti roti sandwic hanya mengambil masa 10 minit untuk disiapkan.
“Kalau menu macam nasi lemak ambil masa lama sedikit, jadi kena bangun awal,” kata suri rumah sepenuh masa ini. – 25 Disember, 2017.
Komen