Hantar semua pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin, kata Adun Selangor


KKM tidak sepatutnya bergantung kepada ambulans saja untuk angkut pesakit kerana jumlah pesakit sekarang lebih 1,000 sehari, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2020.

PUTRAJAYA perlu berhenti beri alasan dan gunakan semua sumber yang ada untuk hantar pesakit Covid-19 dari rumah mereka ke pusat kuarantin, kata Adun Selangor.

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata amat penting untuk kerajaan menangani isu ini kerana meminta pesakit kekal di rumah sementara Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan pengangkutan, tidak boleh dilaksanakan.

“Mendakwa kelewatan itu kerana jumlah kes meningkat, tidak boleh diterima. Kita bergelut dengan pandemik ini sejak Mac dan lonjakan kes di Sabah pada Oktober, sepatutnya memberikan masa mencukupi kepada kerajaan untuk membangunkan pelan tindakan yang efektif.

“Ada banyak pelan tindakan antarabangsa yang boleh diikuti. Misalnya Singapura guna bas awam untuk pindahkan pesakit positif Covid-19. Perancis sediakan perkhidmatan keretapi khas untuk tujuan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM tidak sepatutnya bergantung kepada ambulans saja untuk angkut pesakit kerana jumlah pesakit sekarang lebih 1,000 sehari, katanya.

“Kerajaan sepatutnya kerahkan aset lain dan pemandu, termasuk van dan bas yang tidak digunakan, malah kenderaan tentera patut digunakan sebagai bantuan.”

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun negara dapat mengendalikan lonjakan kes jangkitan baharu setiap hari, berlaku kelewatan dalam mengambil dan menghantar pesakit.

Salah satu punca kelewatan biasanya membabitkan kes pesakit individu.

“Tidak seperti kluster di tempat kerja di mana pekerja warga asing terbbait, di mana mereka boleh diangkut dengan bas, kes individu memerlukan van yang mengambil masa lebih lama apabila banyak kes individu berlaku,” kata Dr Noor Hisham.

KKM sedang mempertimbangkan untuk membenarkan individu disahkan positif Covid-19 untuk menjalani kuarantin di rumah.

The Malaysian Insight melaporkan ketua pasukan petugas khas Covid-19 (STFC) Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes di Selangor dijangka kekal tinggi hingga pertengahan tahun depan.

Rajiv berkata kebanyakan pesakit tidak ada sebuah bilik yang boleh mengasingkan pesakit sepanjang tempoh kuarantin.

Ramai pekerja warga asing berkongsi rumah yang sempit, menyebabkan mereka terdedah lebih lama dan akan menyebabkan penularan virus itu, katanya.

“Mereka yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah akan sukar untuk kekal duduk secara berasingan. Keluarga dengan anak kecil juga sukar untuk mengasingkan diri kerana anak tidak akan faham atau terima kenapa ibu bapa mereka tidak keluar bilik atau izinkan mereka masuk ke bilik itu.”

Rajiv berkata pesakit berisiko tinggi untuk menyebabkan orang lain berjangkit dalam tempoh tiga hari sebelum bergejala dan tujuh hari selepas simptom terbentuk.

“Lewat sedikit saja pun boleh menyebabkan kluster baharu muncul lagi. Apatah lagi, ramai orang tidak bertanggungjawab, kita tidak boleh anggap semua orang patuh arahan untuk kekal di rumah.

“Masih ramai yang mungkin keluar dan berinteraksi dengan orang lain, atas pelbagai alasan terutama jika mereka tidak bergejala,” katanya. – 29 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen