Hungary terima 6,000 dos vaksin Covid-19 dari Rusia


Menteri Luar Hungary Peter Szijjarto berkata negara itu akan menerima 6,000 dos vaksin dari Rusia pada Isnin. – Gambar EPA, 29 Disember, 2020.

HUNGARY akan menerima 6,000 dos vaksin koronavirus kontroversi dari Rusia pada Isnin.

Menteri Luar Hungary Peter Szijjarto dalam satu pesanan video di Facebook berkata sebanyak 6,000 dos vaksin akan melintasi sempadan Hungary dan Slovakia.

Kiriman itu dibawa ke Budapest bagi mendapatkan keputusan oleh pakar Hungary mengenai cara penggunaan vaksin berkenaan.

Pengumuman itu dibuat selepas Hungary memulakan vaksinasi pada Sabtu, lebih awal dari kebanyakan negara Kesatuan Eropah selepas menerima penghantaran pertama virus Pfizer BioNTech buatan Belgium.

Bulan lalu Szijjarto berkata Hungary adalah negara Eropah pertama yang menerima sampel untuk ujian vaksin Sputnik V koronavirus Rusia sementara doktor dan pakar Hungary mengunjungi Rusia bagi mengkaji pengeluarannya.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) yang ditugaskan untuk mengawasi kelulusan vaksin di EU sebelum dapat dipasarkan, masih belum menilai ubat Rusia yang menurut Moscow sudah menunjukkan keberkesanan 95 peratus dalam percubaan.

Tetapi pakar Barat dan Rusia telah menimbulkan kekhuatiran terhadap tindak balas cepat dan pengkritik menggambarkannya sebagai alat untuk meningkatkan pengaruh geopolitik Rusia.

Penghantaran berskala besar dan pengeluaran besar-besaran oleh syarikat Hungary mungkin dilakukan pada tahun hadapan jika terbukti selamat dan berkesan, menurut Budapest.

“Hungary terbuka untuk semua perkembangan vaksin yang berjaya di seluruh dunia.

“Kami melakukan yang terbaik untuk membawa ke Hungary secepat mungkin semua vaksin yang berkesan sama ada ia dibuat di Barat atau di Timur,” katanya. – AFP, 29 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen