KES Covid-19 di Selangor dijangka kekal tinggi sehingga pertengahan tahun depan apabila negeri ini terus mencatatkan jumlah harian tertinggi untuk hari ke-12 berturut-turut, kata Ketua Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) Dr Dzulkefly Ahmad.
“Kami di STFC tidak fikir ia akan turun dalam masa terdekat.
“Kita meramalkan trend akan berterusan sehingga pertengahan tahun 2021. Kita berharap akan mendapat vaksin Covid-19 pada suku pertama,” kata Dr Dzulkefly kepada The Malaysian Insight.
Selangor mempunyai jumlah kes aktif tertinggi dengan lebih 8,000 jangkitan sementara jumlah kumulatif terkumpul sebanyak 29,969, yang kedua tertinggi di antara negeri-negeri lain.
Semalam kerajaan mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 14 Januari di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah berikutan jumlah kes Covid-19 harian yang tinggi di ketiga-tiga negeri berkenaan.
PKPB di ketiga-tiga negeri berkenaan sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini.
Dr Dzulkefly berkata peningkatan kes itu dijangka disebabkan saringan ke atas pekerja asing yang diwajibkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
“Kes bermula dari kes positif di kluster di asrama, dari mereka yang bekerja di kilang dan tapak pembinaan.
“Selangor merupakan negeri perindustrian, sama ada kilang mahupun tapak pembinaan, secara semulajadi akan menjadi pusat wabak kluster,” katanya.
Selain itu negeri ini juga bekerjasama dengan Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) untuk meningkatkan usaha menjalankan saringan komuniti.
Dr Dzulkefly yang merupakan menteri kesihatan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang lalu berkata terdapat juga sebilangan kecil kes sporadik yang dikesan setiap hari melibatkan pemeriksaan saringan penyakit seperti kes influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut yang teruk.
Program pencegahan bendung penyebaran virus
STFC menyarankan agar kerajaan negeri menjalankan program Preventing Outbreak on Ignition Sites (Pois) sebagai langkah membendung penyebaran virus di negeri ini.
Dr Dzulkefly berkata Pois pada dasarnya adalah program proaktif dan pre-emtif untuk mencegah berlakunya wabak.
Pois bertujuan mendorong majikan yang mempunyai tenaga kerja yang besar melakukan Langkah-Langkah Pencegahan Awam Dipertingkatkan (EPHM).
Ia juga memberi kesedaran kepada pekerja melalui pendidikan kesihatan terutama berkenaan Covid-19.
Pois adalah jalinan kerjasama antara kumpulan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam.
Beliau berkata program ini akan dilakukan secara sukarela dan oleh itu ia tidak dilaksanakan melalui mekanisme undang-undang.
Akan tetapi ia akan memberikan bantuan teknikal yang menyokong majikan yang memerlukan untuk melindungi pelaburan mereka serta untuk mengurangkan ganguan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.
“Kita sudah berhubung dengan ramai pihak berkepentingan atau majikan,” kata Dr Dzulkefly.
Menurutnya program itu mendapat sambutan baik dan ramai majikan berminat dengan program berkenaan.
“STFC juga bersedia untuk berkongsi program ini dengan Kementerian Kesihatan agar dapat dilaksanakan di negeri lain juga,” katanya. – 29 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen