PESAKIT Covid-19 yang tidak bergejala dinasihatkan untuk mengasingkan diri di rumah kerana Kementerian Kesihatan terkesan dengan peningkatan mendadak kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata, oleh kerana jumlah kes yang tinggi, terdapat masalah logistik untuk membawa pesakit ke hospital.
“Kita bercakap tentang lebih dari 1,000 kes sehari. Ini kerana peningkatan ujian di kalangan pekerja asing yang mengakibatkan lebih banyak kes dapat dikesan.
“Pekerja asing tidak ada tempat untuk diasingkan… Kita ada ribuan pekerja asing di sini. Kami sedang menambah jumlah katil menjadi 10,000,” katanya kepada Malay Mail.
Semalam Malaysia mencatat 1,196 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti menjadi 105,096 dengan jumlah kematian 452 orang.
Dr Noor Hisham mengulas perkara berkenaan berikutan aduan yang dibuat oleh pemilik perniagaan yang mengatakan bahawa beliau ada tiga pekerja disahkan Covid-19 yang sedang menunggu arahan selanjutnya dari kementerian kesihatan.
Beliau juga mempersoalkan kurangnya kemas kini pada aplikasi MySejahtera, aplikasi pengesan kontak.
Apabila seorang staf diuji positif Covid-19, beliau mengarahkan 17 kontak rapat pekerjanya itu untuk kuarantin sendiri.
Dua daripadanya telah diuji positif, sementara yang lain menunggu keputusan ujian mereka.
Pihak hospital telah memberi jaminan bahawa keputusan ujian akan keluar antara 24 dan 48 jam, namun beliau berkata keputusan itu masih belum diterima.
“Dua kakitangan saya positif. Hingga hari ini, KKM belum menghubungi mereka, tidak ada gelang warna merah jambu, atau apa-apa.”
Dr Noor Hisham menasihatkan mereka yang menunggu respon dari hospital untuk terus menghubungi pejabat kesihatan daerah. – 28 Disember, 2020.
Komen