TIDAK ada insiden serius dilaporkan hasil ujian klinikal vaksin Covid-19 oleh AstraZeneca-Universiti Oxford, kata syarikat farmasi itu kepada The Malaysian Insight.
Syarikat itu, yang akan membekalkan vaksin ke Malaysia pada awal tahun depan berkata analisis sementara ujian klinikal vaksin AZD1222 di UK dan Brazil menunjukkan suntikan selamat dan sangat berkesan untuk mencegah Covid-19.
Tambahnya, tidak ada yang dimasukkan ke hospital atau kes teruk dilaporkan hasil ujian terhadap sukarelawan yang menerima vaksin itu.
Terdapat 131 kes Covid-19 dalam analisis sementara.
“Kami gembira dengan keputusan positif yang tinggi (HLR). Hasilnya menunjukkan keberkesanan yang tinggi terhadap Covid-19 dan berjaya mencegah hospitalisasi dan kes yang teruk pada peserta percubaan peringkat akhir termasuk orang tua,” katanya.
“Berikutan pengumuman HLR baru-baru ini, Lembaga Pemantauan Keselamatan Data bebas memutuskan tidak ada insiden serius yang melibatkan vaksin itu,” tambahnya.
Analisis sementara ujian klinikal Tahap 3 dilakukan oleh Universiti Oxford.
Penghantaran ke Malaysia
Ditanya mengenai jangka masa penghantaran vaksin ke Malaysia, syarikat itu berkata penghantaran berperingkat dijangkakan seawal separuh pertama 2021.
“AstraZeneca bersungguh untuk memberi vaksin secepat mungkin, tanpa mengetepikan proses saintifik dan dengan standard yang tinggi untuk keselamatan pesakit,” katanya.
Waktu penghantaran pertama bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kelulusan peraturan dan permit import.
“Semua usaha dilakukan untuk mempercepatkan proses ini melalui kerjasama dengan pihak berwajib,” tambahnya.
Namun, pihaknya tidak menyatakan bila syarikat itu akan menyerahkan dokumennya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk persetujuan.
Malaysia membeli 12.8 juta dos dari syarikat itu, di mana 6.4 juta dos akan dibeli melalui kemudahan Covax sementara selebihnya dibeli melalui rundingan langsung dengan syarikat farmaseutikal Britain-Sweden.
Ini akan dapat menampung vaksin buat 20% penduduk, atau 6.4 juta orang.
Vaksin koronavirus berasaskan adenovirus dikembangkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford.
Adenovirus adalah virus biasa yang selalunya menyebabkan selesema atau gejala seperti selesema.
Vaksin ini dikembangkan menggunakan versi yang diubah suai daripada cimpanzi adenovirus, yang dikenali sebagai ChAdOx1.
Tidak seperti vaksin Pfizer-BioNTech yang memerlukan penyimpanan ultra-sejuk pada suhu -70 darjah Celsius, vaksin AstraZeneca lebih mudah disimpan kerana hanya memerlukan suhu 2-8 darjah Celsius saja.
Menurut The Guardian, vaksin itu akan tersedia secara tanpa-untung “selamanya” kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana di negara membangun. – 28 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.

Komen