Covid-19 di Selangor sukar reda, kata pakar kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Kadar jangkitan tinggi, selain kepadatan penduduk dan aktiviti ekonomi rancak dilihat sebagai penyebab sukar kes turun di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2020.

PAKAR kesihatan percaya jangkitan Covid-19 di Selangor tidak akan surut dalam masa terdekat ini.

Selangor mendahului semua negeri lain selama 10 hari berturut-turut sehingga Jumaat lepas apabila kes di Kuala Lumpur pula meningkat. Ini bermakna, kadar jangkitan kekal tinggi di Lembah Klang.

Pakar berkata peningkatan kegiatan ekonomi di Selangor juga menjadi penyebab kepada peningkatan jumlah jangkitan kluster.

Pakar epidemiologi Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata lebih kurang 60 daripada 215 kluster aktif seluruh negara berkait dengan Selangor.

“Selangor mempunyai populasi tinggi berbanding negeri lain dengan 6.8 juta penduduk. Aktiviti ekonominya rancak dan menyumbang 25% daripada keluaran dalam negara kasar,” katanya.

“Negeri ini juga menampung populasi pekerja warga asing yang besar dan dekat dengan Kuala Lumpur yang juga berpenduduk padat dan juga mempunyai banyak kluster dan kes,” tambahnya.

Akibatnya, banyak kluster yang terkait dengan tempat kerja muncul seperti cendawan selepas hujan, menunjukkan kerancakan kegiatan ekonomi di negeri ini.

“Pada Oktober, saya perhatikan sudah ada banyak kes yang tidak berkait dengan Selangor. Ini bermaksud virus ini sudah ada dalam masyarakat dan akan sukar dikawal kerana kita tidak dapat mengesan dan mengasingkan sumber jangkitan,” katanya kepada The Malaysian Insight .

Ini, katanya, mencambahkan lagi jangkitan dan kluster.

Oleh itu, Dr Awang berpendapat sukar untuk melihat jangkitan Covid-19 di Selangor reda dalam masa terdekat.

“Ini terbukti sangat sukar untuk kawal. Saya rasa pihak berkuasa perlu mempertimbangkan mitigasi berbanding strategi pengawalan jika keadaan ini berlanjutan,” katanya.

Bersependapat dengan beliau, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata peningkatan jangkitan disebabkan oleh pergerakan dan aktiviti yang berkaitan dengan pekerjaan terutamanya sektor pembinaan dan kilang.

Tambah Dr Zainal, kes sudah mula merebak dari kluster baharu dan juga kluster lama.

Peningkatan jangkitan Covid-19 disebabkan pergerakan dan aktiviti berkaitan pekerjaan terutamanya sektor pembinaan dan kilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2020.

Keadaan penempatan pekerja asing yang menyedihkan juga menjadi penyebab, katanya.

Oleh itu, Dr Zainal berkata jumlah kes baharu dijangka meningkat dengan aktiviti ujian saringan yang lebih aktif terutama untuk pekerja asing dan kontak rapat pesakit kes positif.

Sementara itu, Prof Madya epidemiologi perubatan Universiti Putra Malaysia Dr Malina Osman berkata peningkatan kes ini sebahagiannya disebabkan oleh aktiviti ujian saringan yang agresif dan pengesanan kontak.

Beliau menambah kurangnya tahap kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh golongan tertentu juga menjadi penyebab munculnya kluster baharu.

“Ia bergantung kepada kerjasama masyarakat, apakah mereka dapat kekalkan komitmen mereka dalam mematuhi nasihat yang berkaitan dengan pencegahan Covid-19 atau mengabaikan langkah yang disarankan,” katanya ketika ditanya adakah jangkitan dapat dikurangkan.

“Jika komitmen kita tinggi untuk patuh kepada SOP, kes akan turun. Jika tidak, kita akan melihat jumlah kes yang tinggi,” tambahnya.

Pada Ahad, Selangor merekodkan 392 kes. Secara kumulatif, negeri itu mencatatkan 29,272 kes.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian prihatin terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor kerana negeri itu terus menerus menduduki tangga teratas jangkitan harian Covid-19. 

“Kami risau jangkitan menyebar ke masyarakat,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham kementerian menjangkakan peningkatan kes di kawasan berpopulasi tinggi di Selangor, selain memantau pergerakan penduduk. – 28 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen