1,196 kes baharu, 997 sembuh, 1 kematian akibat Covid-19


Jumlah kes baharu hari ini menjadikan keseluruhan kes sebanyak 105,096 manakala kes aktif sudah mencecah 20,233. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2020.

MALAYSIA hari ini melaporkan jangkitan Covid-19 sebanyak 1,196 kes, dengan Selangor sekali lagi merekodkan kes tertinggi antara negeri-negeri lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu hari ini menjadikan keseluruhan kes sebanyak 105,096 manakala kes aktif sudah mencecah 20,233.

Katanya, Selangor merekodkan 392 kes hari ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 202 kes. Johor menjadi negeri ketiga tertinggi dengan 194 kes.

Tambah Noor Hisham, hanya lima kes import dilaporkan hari ini.

Katanya, kluster pusat tahanan dan penjara menyumbang 53 kes.

Hanya satu kluster baharu dilaporkan hari ini berbanding jumlah kluster semalam yang paling tinggi iaitu 11 kluster.

Berkaitan kes sembuh, Noor Hisham berkata, 997 pesakit telah didiscaj daripada hospital dalam tempoh 24 jam ini.

Berikutan itu, katanya, jumlah kes sembuh daripada Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 84,411.

Ujarnya lagi, hanya satu kematian dilaporkan iaitu di Sabah, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 negara sebanyak 452.

Sementara itu, 111 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi, di mana 50 daripada jumlah itu memerlukan alat bantuan pernafasan.

Noor Hisham berkata, kluster Jalan Sedco ditemui di Tawau dan kawasan Kalabakan di Sabah selepas pesakit indeks didapati positif Covid-19 pada 20 Disember. Setakat ini, kluster itu melaporkan 14 kes.

Beliau mengumumkan penamatan kluster Kerengge, Alila, dan Gemilang selepas 28 hari tempoh pengawasan.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini sebanyak 213. – 27 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen