Kartel daging guna permit buah-buahan untuk lolos sempadan


Produk itu dikatakan diseludup melalui pelabuhan Johor, sementara gudang simpanan digunakan untuk menukar label palsu sebelum dipek semula dan dijual di seluruh Malaysia. – Gambar AFP, 27 Disember, 2020.

KARTEL daging kontroversi di Johor yang dituduh mengedarkan daging haram dikatakan menggunakan syarikat pengimport buah-buahan untuk membawa masuk daging tidak diiktiraf itu ke Malaysia, lapor Sinar Harian.

Pendedahan eksklusif itu membongkar kegiatan kartel itu yang menggunakan beberapa syarikat Bumiputera sebagai proksi bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

“Tindakan mewujudkan syarikat proksi bertujuan meyakinkan pemborong termasuk pasar raya besar bahawa produk daging sejuk beku yang mereka bekalkan adalah daripada sumber halal sekali gus meyakinkan pengguna beragama Islam,” kata sumber rapat.

Permit itu sepatutnya digunakan untuk membawa masuk buah-buahan tetapi digunakan untuk membawa masuk daging, kata laporan itu.

Minggu lalu, New Straits Times melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah membuka kertas siasatan berhubung penyeludupan daging import berkenaan.

Fokus siasatan ialah pemalsuan borang K1 kastam yang merupakan pengisytiharan dagangan import; selain siasatan terhadap agensi-agensi yang terlibat.

Pada 1 Disember, dalam operasi bersama, pihak berkuasa berjaya membongkar “kartel daging” yang menyeludup daging sejuk beku daripada Argentina, Brazil, Ukraine dan China.

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku yang bernilai sekitar RM30 juta dirampas ketika operasi di Kawasan Perindustrian Senai, Johor.

Produk itu dikatakan diseludup melalui pelabuhan Johor, sementara gudang simpanan digunakan untuk menukar label palsu sebelum dipek semula dan dijual di seluruh Malaysia.

Pihak berkuasa berkata, kartel itu aktif sejak sekian lama, dan untuk mengelak dari dibau pihak berkuasa, mereka memalsukan dokumen, permit dan sijil halal selain turut mengimport produk dari sumber yang tidak sahih selain mencampur adukkan stok mereka.

Sumber berkata, ada kemungkinan tinggi berlakunya korupsi dalam kalangan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk sempadan kerana bersekongkol dengan kartel untuk melepaskan daging-daging haram itu.

“Bagi kes penyeludupan daging sejuk beku berkenaan, ia diistilahkan sebagai ‘daging karpet merah, merujuk kepada daging atau barangan seludup yang sengaja dilepaskan masuk ke negara kerana penguat kuasa mahupun penjawat awam yang bertanggungjawab sudah dikawal oleh kartel-kartel terbabit.

“Berkenaan dengan kaedah penyeludupan di pintu masuk negara, kartel begitu arif dengan operasi pelabuhan termasuk aktiviti penugasan anggota penguat kuasa bagi melepasi kawalan pemeriksaan dibantu oleh ‘orang dalam’.

“Kartel ini cukup licik memalsukan dokumen atau borang K8 iaitu kebenaran untuk transit barangan dagangan dari satu zon bebas ke zon bebas yang lain melalui kawasan utama kastam dan borang K1, pengisytiharan dagangan import yang dibawa keluar dari zon bebas ke kawasan utama kastam.

“Malah perancangan rapi diatur termasuk kontena membawa barang seludup itu akan melalui laluan ‘VIP’ bagi melepasi pemeriksaan seterusnya bayaran secara tunai dibuat kepada kakitangan yang bertugas di situ,” kata sumber itu. – 27 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen