JANGAN tipu petugas barisan depan, pesan Dr Noor Hisham Abdullah kepada orang awam hari ini selepas seorang doktor dijangkiti Covid-19 kerana seorang tidak memberitahu keadaan sebenar kesihatan.
“Kami juga perlu dilindungi, kami juga ada keluarga dan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
“Jangan aniaya petugas barisan depan,” katanya.
Ketua pengarah kesihatan itu juga berkongsi kenyataan daripada doktor yang dijangkiti virus itu.
Menurut Dr Nur Marini Zainal, pesakit berkenaan datang ke hospital untuk menjalani ujian imbasan CT.
Beliau berkata individu itu dibenarkan menjalani ujian itu selepas pesakit itu mengesahkan kesihatan dirinya dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, hasil imbasan menunjukkan keadaan paru-paru individu tersebut sama seperti pesakit Covid-19.
Apabila siasatan lanjut dijalankan pesakit itu kemudiannya mengakui mengalami demam dan batuk selama seminggu.
“Pesakit itu disahkan dijangkiti Covid-19 dua hari kemudiannya,” katanya.
Dr Nur Marini berkata beliau hanya berhubung rapat dengan pesakit itu selama 15 minit.
Namun katanya sentuhan fizikal tidak dapat dielakkan kerana beliau perlu memasukkan tiub ke dalam pesakit itu sebagai sebahagian prosedur ujian imbasan CT.
“Saya mengamalkan pembersihan tangan mengikut SOP sebab saya memang paranoid.
“Tetapi untuk penggunaan PPE penuh, hanya bagi petugas yang merawat pesakit berisiko tinggi, kerana stok PPE adalah terhad,” katanya.
Dr Nur Marini berkata pada mulanya beliau dikategorikan sebagai kontak risiko rendah, sebab kedua-duanya memakai pelitup muka pembedahan dan pesakit tidak batuk di depannya.
“Keputusan ujian saringan mendapati saya positif. Saya menangis kerana saya perlu berpisah dengan anak-anak dan suami.
“Saya juga bimbang keluarga dan rakan-rakan mungkin dijangkit. Saya amat kecewa dengan sikap pesakit saya.” – 27 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen