PUTRAJAYA perlu menilai semula strategi menangani Covid-19 bagi memastikan penningkatan kes baharu dapat dihentikan, kata Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata kerajaan dilihat berada di laluan yang salah untuk mengendalikan pandemik itu terutamanya ketika angka kes baharu masih lagi kekal empat digit buat masa ini.
Beliau juga menyelar Menteri Kesihatan Adham Baba yang gagal menjalankan tanggungjawabnya.
Lim mengulas tentang kes baharu tertinggi yang dicatatkan Malaysia semalam dengan 2,335 kes jangkitan baharu.
“Ini membuktikan strategi yang sedia ada gagal mengekang peningkatan mendadak gelombang ketiga Covid-19.
“Sepatutnya strategi ini perlu dikaji semula bagi memastikan gelombang ketiga Covid-19 ini terkawal.
“Malangnya, kita mempunyai menteri kesihatan ynag tidak memainkan sebarang peranan untuk memerangi Covid-19,” katanya.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk membentuk majlis negara berhubung Covid0-19 yang perlu diketuai oleh bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Kata Lim angka unjuran yang dikeluarkan oleh Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) Amerika Syarikat (AS) menunjukkan masa depan yang suram buat Malaysia.
“IHME menjangkakan peningkatan kes di Malaysia sehingga pertengahan Mac 2021 dengan mencapai 5,000 kes sehari bermula 25 Februari 2021.
“Ia juga meramalkan sebanyak 2,987 kes baharu akan dicatatkan bermula 1 Januari dan meningkat menjadi 4,176 kes bermula 1 Februari dan 5,130 pada 1 Mac.
“Trend ini akan berterusan sehingga 21 Mac dengan 5,739 kes sebelum mulai menurun pada 1 April dengan 5,301 kes,” katanya. – 27 Disember, 2020.
Komen