PANDEMIK Covid-19 merancakkan semula perniagaan di Mara Digital Mall yang pernah pada suatu ketika bagaikan hidup segan mati tidak mahu, empat tahun selepas dilancarkan sebagai pusat jualan peranti dan aksesori elektronik Bumiputera.
Budaya baharu pekerjaan dan pembelajaran dari rumah di tengah wabak yang melanda jadi penyambung nyawa buat peniaga di Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Sandi Saliman, 23, yang bekerja di premis membaiki telefon genggam berkata hasil perniagaan meningkat lebih kurang 10% sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
“Sebelum PKP perniagaan biasanya agak perlahan namun selepas kerajaan tarik balik sekatan, kita lihat berlakunya peningkatan jualan.
“Ada hari perniagaan perlahan, ada hari ramai pelanggan, itu biasa… nak kata peniaga di Mara Digital Mall gagal, itu tak betul,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui baru-baru ini.
Malah katanya, pihak pengurusan Mara Digital Mall juga pernah mengadakan perbincangan dengan peniaga untuk meningkat jualan mereka.
“Perniagaan bertambah baik selepas penularan wabak Covid-19. Orang bekerja dari rumah, budak sekolah, pelajar universiti pun belajar dari rumah.
“Mereka perlu gunakan laptop dan telefon. Mereka tidak keluar ke pejabat dan sekolah. Jadi mereka ada duit lebih untuk digunakan bagi membaiki laptop dan sebagainya, jadi waktu ini perniagaan kami agak baik,” katanya.
Mara Digital Mall memulakan operasinya pada 8 Disember 2015, di tingkat tiga Menara Mara di Kuala Lumpur khusus bagi peniaga Melayu dan Bumiputera.
Pembukaannya dikaitkan dengan kontroversi insiden pergaduhan di Plaza Low Yat yang berpunca daripada kecurian telefon genggam di sebuah premis di kompleks perniagaan produk teknologi maklumat (IT) itu.
Insiden itu mencetuskan pergaduhan dan sentimen perkauman, sehingga membawa kepada idea penubuhan sebuah pusat perniagaan IT milik Bumiputera untuk menyaingi dan memecah monopoli bukan Melayu.
Menurut Sandi, tiada perniagaan yang gulung tikar sepanjang tahun ini, apabila kerajaan mengenakan PKP pada pertengahan Mac selepas jangkitan wabak Covid-19 merebak.
Namun begitu tinjauan The Malaysian Insight mendapati barisan premis jualan yang kosong, yang difahamkan tutup sejak dua tahun lalu.
Sandi memberitahu pihak pengurusan Mara ada menawarkan pengurangan kadar sewa premis sehingga 50% untuk tempoh enam bulan sepanjang pelaksanaan PKP.
Pada masa ini peniaga membayar kadar sewa bulanan antara RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kedudukan premis.

Norazniati Mohd Rashid, 28, pula berkata, sebaik sahaja sekatan pergerakan diringankan pada Mei, premis perniagaan di Mara Digital Mall menerima kehadiran pelanggan yang luar biasa.
“Berduyun-duyun orang datang serbu, mereka kena baiki telefon bimbit, laptop, sebab kena kerja dari rumah.
“Sewaktu PKP pula kita tumpukan pada aktiviti penjualan secara atas talian, sebab kedai tak boleh operasi masa PKP… perniagaan boleh bertahan, tidaklah sampai kata nak tutup, tak betul,” katanya.
Norazniati yang mula bekerja sejak awal penubuhan Mara Digital Mall berkata, pemilik premis perniagaan juga tidak memecat mana-mana pekerja disebabkan kekurangan hasil jualan.
“Masa PKP walaupun perniagaan tidak berjalan kerana premis ditutup, majikan masih tetap membantu pekerja dengan memberikan elaun, tidak ada lagi kakitangan yang dipecat.
“Walaupun tidak banyak, tapi setiap hari kami mampu membuat jualan,” katanya.
Norazniati juga mengesahkan premisnya tidak lagi terikat dengan pembekal tunggal di Mara Digital Mall, seperti awal penubuhannya dahulu.
WGN Scan Sdn Bhd (WGN) merupakan pembekal tunggal yang membekalkan barangan dan produk kepada usahawan peranti elektronik di Mara Digital Mall.
“Kadang-kadang mereka pun susah nak dapat barang tertentu, jadi kita cari pembekal sendiri sahaja…tidak lagi terikat dengan mereka,” katanya.
Bagi Haikal Ismail, 22, pula, setiap hari tidak kurang 10 hingga 15 pelanggan akan mengunjungi kedai membaiki telefon bimbitnya yang dibuka bermula 9 pagi hingga 9 malam.
Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, jumlah pelanggan juga bertambah apabila waktu makan tengahari berbanding waktu pagi.
“Aktiviti perniagaan tidaklah kata terjejas sangat, masih mampu bertahan sama ada sebelum atau selepas PKP.
“Beza yang ketara dulu sebelum PKP mungkin dalam seminggu tiga atau empat hari perlahan, selepas PKP ini hanya sehari dua sahaja, hari lain perniagaan rancak,” katanya, yang bekerja di Mara Digital Mall sejak setahun lalu.
Selepas Mara Digital Mall dibuka di ibu negara, model sama cuba diaplikasikan di negeri lain namun gagal.
Mara Digital Mall di Selangor, Pahang, dan Johor dilaporkan sudah ditutup. – 27 Disember, 2020.
Komen