Pengendali futsal sedia kembali beroperasi tahun depan


Alfian Z.M. Tahir

Perniagaan futsal terjejas sejak pandemik Covid-19, bertambah teruk apabila kerajaan arah gelanggang ditutup sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2020.

PENGENDALI gelanggang futsal lega dengan pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti sukan diteruskan, dan sedang bersiap untuk meneruskan operasi mereka tahun depan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight perniagaan terjejas teruk sejak pandemik Covid-19, malah ia bertambah teruk apabila kerajaan mengarahkan penutupan gelanggang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Oktober lalu.

Pada Oktober, kerajaan melaksanakan PKPP sejurus peningkatan kes Covid-19, menyaksikan aktiviti sukan yang bersentuhan diarahkan berhenti beroperasi.

Sebelum ini, gelanggang futsal diarahkan tutup ketika tempoh PKP yang bermula pertengahan Mac sehingga 9 Jun.

Pengendali futsal di Meru, Klang memberitahu The Malaysian Insight mereka lega apabila Putrajaya membenarkan operasi bermula kembali. Katanya, beliau tidak sabar untuk membuka dan mengikut SOP kepada pengguna.

Johari Ghazali yang memulakan perniagaannya pada awal 2019 berkata perniagaan berjalan lancar sehinggalah pandemik melanda pada awal 2020.

“Saya sewa gudang yang kemudiannya diubah suai jadi gelanggang futsal. Saya menghabiskan beratus ribu ringgit untuk bisnes ini.

“Semuanya lancar dan bagus. Orang muda termasuk pertengahan usia pun suka bermain futsal. Perniagaan berjalan baik.

“Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan, perniagaan terjejas. Tambahan pula, Selangor mencatat kes Covid-19 yang tinggi. Tempat saya pula dekat dengan kilang Top Glove. Saya berdoa semuanya akan kembali seperti sedia kala.

“Waktu PKP, saya tiada pendapatan langsung, malah terpaksa pula membayar duit sewa dan sentiasa perlu memastikan gelanggang dalam keadaan yang baik,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak akan lagi membenarkan pengguna dan pemain melepak di sekitar gelanggang selepas sesi permainan tamat. Ini bagi kurangkan kontak antara pemain. – 27 Disember, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen