Norma baharu bantu tingkat jualan produk IT


Ravin Palanisamy

Penggunaan komputer riba menjadi sebahagian norma baharu apabila rakyat mula beralih kepada alam maya untuk proses pembelajaran dan bekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

JUALAN barangan elektronik, teknologi maklumat (IT) dan aksesori meningkat naik walaupun kebanyakan perniagaan lain suram ekoran kesan pandemik Covid-19.

Dengan peningkatan kes jangkitan di seluruh dunia, pandemik itu menyebabkan banyak perubahan dalam kehidupan setiap orang.

Konsep Bekerja Dari Rumah menjadi sebahagian norma baharu dengan penyesuaian bekerja dan mengajar secara fizikal sebelum ini beralih kepada secara maya.

Proses ini memerlukan peralatan elektronik yang bersesuaian seperti komputer riba, tablet dan telefon pintar bagi menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Hal ini menyebabkan permintaan produk baharu IT semakin meningkat walaupun ada yang sekadar membaiki peralatan lama.

Pusat elektronik tertua negara, Plaza Low Yatt menyaksikan peningkatan mendadak jualan produk IT.

Menurut Waran, 23, seorang pekerja Malaysia House of Internet, berlaku peningkatan jualan dan permintaan komputer riba tahun ini.

Waran berkata walaupun barangan baru lambat tiba, pelanggan tetap gembira untuk membeli model yang sedia ada untuk keperluan segera.

“Kebanyakan jenama komputer riba yang kami jual telah dinaiktaraf kepada generasi ke-11. Buat masa ini kami hanya mempunyai generasi ke-10 kerana stok baharu dijangka tiba seawal Februari 2021.

“Namun jualan komputer riba tetap meningkat selepas perintah kawalan pergerakan dilonggarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Waran berkata pelanggan tidak kisah tentang jenis dan jenama komputer riba kerana mereka hanya mahu yang mudah dikendalikan dan harga yang munasabah.

“Pelanggan kami mahu komputer riba untuk kegunaan asas dan harian. Jadi mereka mahu yang mudah guna dan murah.

“Komputer riba paling murah adalah sekitar RM2,300 dan ia sudah cukup untuk mereka yang bekerja dan pelajar.”

Selain komputer riba, jualan telefon pintar juga meningkat sepanjang tempoh ini.

Telefon pintar kini semakin menjadi keperluan murid sekolah walaupun berisiko dirampas guru.

Permintaan terhadap peranti berkenaan semakin meningkat, kata Jason, pekerja di sebuah kiosk menjual telefon bimbit.

Menurutnya, beberapa pelanggan membeli untuk anak mereka kerana guru banyak menghantar kerja sekolah melalui platform media sosial seperti WhatsApp. Kebanyakan ibu bapa berkata anak sukar untuk membuat kerja sekolah jika mereka berkongsi telefon.

“Permintaan terhadap telefon pintar sekarang tinggi, walaupun model yang ada ciri-ciri asas saja.

“Ada ibu bapa beli telefon yang paling asas kerana mereka kata guru hanya menghantar kerja sekolah melalui WhatsApp,” katanya.

Jason berkata jualan telefon pintar di kiosknya naik 10% tahun ini dan katanya ini agak baik ketika pandemik Covid-19.

“Kita terpaksa tutup kedai semasa Mac disebabkan wabak, bagaimanapun, saya lega kerana dengan adanya kelas dalam talian dan ramai yang bekerja dari rumah, permintaan terhadap telefon pintar kian meningkat.” – 26 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen