Tinjauan KKM dapati tahap kepatuhan SOP warga Malaysia tinggi  


Ragananthini Vethasalam

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majoriti responden mengamalkan peraturan kendiri yang tinggi termasuk memakai topeng muka (93.3%), penjarakan fizikal (89.6%) dan mengamalkan cuci tangan dengan sabun dan air atau menggunakan bahan sanitasi (89.7 %). – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

TINJAUAN Kementerian Kesihatan mendapati tahap kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu adalah tinggi.

Tinjauan yang dilaksanakan antara 25 November hingga 30 November telah melibatkan 36,841 responden.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majoriti responden mengamalkan peraturan kendiri yang tinggi termasuk memakai topeng muka (93.3%), penjarakan fizikal (89.6%) dan mengamalkan cuci tangan dengan sabun dan air atau menggunakan bahan sanitasi (89.7 %).

Katanya, lebih dari 90% responden turut mengingatkan ahli keluarga mereka untuk mematuhi SOP.

Selain itu, sekitar 80% berkata bahawa mereka akan mengingatkan rakan yang tidak mematuhi SOP.

Hanya separuh daripada responden yang selesa mengingatkan orang yang bukan ahli keluarga atau rakan mereka untuk mematuhi SOP norma baharu.

“Penemuan ini sangat positif dan mengagumkan. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengamalkan peraturan kendiri yang tinggi,” katanya.

Objektif tinjauan tersebut adalah bagi menentukan tahap peraturan kendiri dalam kalangan masyarakat.

Noor Hisham berkata, perubahan bermula dengan diri sendiri dan ia adalah langkah pertama menuju kejayaan memerangi wabak Covid-19.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan.

Dua hari lalu, beliau berkata bahawa kementerian bimbang terhadap penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti di Selangor kerana negeri ini terus mencatat kes harian Covid-19 tertinggi.

Beliau turut berkata kementerian menjangka kes akan meningkat memandangkan kepadatan penduduk yang tinggi di negeri ini di samping pergerakan penduduknya yang aktif. – 25 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen