Covid-19 makin menular dalam komuniti di Selangor, kata KP Kesihatan


Sebanyak 461 kes direkodkan di Selangor sahaja disusuli Sabah dengan 225 kes dan Johor 205 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

SELANGOR terus mencatatkan kes baharu Covid-19 paling tinggi untuk 10 hari berturut-turut apabila 1,247 kes direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 24 jam lepas.

Sebanyak 461 kes direkodkan di Selangor sahaja disusuli Sabah dengan 225 kes dan Johor 205 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata secara keseluruhannya Malaysia mencatatkan 101,565 kes dengan 18,576 daripadanya merupakan kes aktif.

Daripada keseluruhan 1,247 kes hari ini, hanya dua kes import dilaporkan manakala selebihnya merupakan kes penularan tempatan.

Kluster penjara dan pusat tahanan menyumbang 221 kes daripada jumlah keseluruhan.

Kementerian Kesihatan juga mengesan empat lagi kluster baharu.

Bagi kes pulih, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,441 pesakit dibenarkan keluar hospital, sekali gus menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 82,540.

Tiga kematian turut dilaporkan hari ini dengan dua di Sabah dan satu di Selangor.

Angka korban kini mencecah 449.

Seramai 108 pesakit kini mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi dengan 47 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 25 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen