KOREA Selatan mencatatkan kes harian tertinggi Covid-19 hari ini ketika sambutan Krismas di negara itu dibayangi gelombang ketiga wabak maut itu.
Negara itu menjadi contoh untuk menangani Covid-19 dengan kebanyakan rakyatnya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Tetapi sepanjang tempoh 24 jam lepas, Korea Selatan mencatatkan sebanyak 1,241 kes baharu, angkat tertinggi di negara itu sejak pandemik bermula pada Disember tahun lalu.
Pihak berkuasa menggesa semua mesyuarat, sebarang perhimpunan termasuk bersama ahli keluarga dibatalkan.
Selain itu perhimpunan melebihi empat orang di Seoul adalah dilarang sehingga 3 Januari.
Ini ekoran sebanyak 70% kes baharu direkodkan di kawasan Seoul sahaja.
Acara gereja ditukar kepada maya atau dianjurkan secara kecil-kecilan manakala sukan ski dan pusat peranginan di seluruh negara diarahkan tutup.
Kes baharu turut muncul dari pelbagai kluster dan lokasi termasuk pusat penjagaan, penjara, tentera, gereja dan sekolah.
Pihak hospital dilaporkan bergelut untuk menampung jumlah pesakit di unit rawatan rapi. – AFP, 25 Disember, 2020.
Komen