KERAJAAN perlu menarik balik serta merta semua bekalan daging import dalam pasaran yang melibatkan peruncit dan pengedar yang menipu serta memalsukan sijil halal, kata Pemuda Umno.
Langkah itu perlu meliputi bekalan yang memasuki pasaran sejak dua minggu melibatkan peniaga terbabit, kata ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Dusuki.
“... (Langkah ini) bagi mengelakkan ianya dijual kepada rakyat dan pengusaha makanan,” katanya mengulas kes melibatkan kartel daging tersebut yang didedahkan pada minggu ini.
Selain itu, bekas timbalan menteri itu menggesa kerajaan mendedahkan semua nama syarikat yang disiasat bagi kesalahan penipuan sijil halal dan percampuran daging halal serta haram dalam pasaran.
Beliau juga menggesa pasukan khas ditubuhkan melibatkan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dalang terlibat sertai meningkatkankekuatan kakitangan persijilan dan pengawasan status halal.
Jelasnya, kapasiti kakitangan persijilan dan seliaan halal itu tidak selari dengan beban dan tugas pengawasan di dalam dan luar negara.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memperkasa semula Majlis Halal Malaysia bagi membangunkan industri halal yang bersepadu yang melibatkan 300 institusi persekutuan, negeri dan swasta.
Beliau mengulas siasatan ke atas kes kartel yang dilaporkan menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina dan membungkusnya semula menggunakan logo halal untuk pasaran Malaysia.
Kegiatan tersebut, yang dilaporkan berlarutan sejak 40 tahun lalu terbongkar ekoran serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Gudang berkenaan didapati menjadi lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai kira-kira RM30 juta disita dalam operasi tersebut.
Laporan New Straits Times menyebut, kartel itu bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa masuk bahan berkenaan.
Ia turut menyebut, antara daging yang dibawa masuk adalah daging kanggaru dan kuda, yang dijual sebagai daging sebagai produk yang berstatus halal.
Pembongkaran itu menimbulkan desakan dari pelbagai pihak agar siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan tegas diambil ke atas pegawai yang terlibat.
Gesaan itu antara lain dinyatakan bekas menteri hal ehwal tani Salahuddin Ayub yang menggesa hukuman setimpal dikenakan ke atas penjenayah terlibat.
Kes tersebut kini disiasat beberapa agensi termasuk Jakim, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurut polis, antara negeri yang dikenal pasti menjadi lokasi kemasukan daging-daging beku secara haram ini ialah Kelantan dan Sarawak. – 25 Disember, 2020.
Komen