Gabungan besar bukan untuk ketepi Anwar, kata Salahuddin


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata gabungan besar itu adalah sebagai harapan baharu kepada pembangkang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

IDEA gabungan besar pembangkang yang diutarakan Amanah bukan untuk mengetepikan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, kata timbalan presidennya Salahuddin Ayub.

Idea itu juga kata Salahuddin bukan untuk membuat gerakan baharu sebaliknya ia adalah sebagai harapan baharu kepada pembangkang.

“Apa dia gabungan besar? Tidak ada niat buang dan ketepi Anwar seperti difitnahkan hari-hari,” katanya ketika berucap merasmikan konvensyen Pemuda Amanah di Melaka hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan Amanah tidak menjadi “walaun” atau seseorang yang taat kepada pemimpin secara membuta tuli.

“Kita bukan nak jadi walaun mana-mana. Kalau saya, saya bukan walaun (Presiden Amanah Mohamad) Sabu, Amanah bukan walaun siapa-siapa.

“Kita bukan walaun Tun (Dr Mahathir Mohamad), bukan walaun Anwar,” kata Salahuddin.

Tambahnya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) juga memberikan Anwar kebebasan untuk mencari sumber bilangan baharu daripada parti dan organisasi lain dengan syarat tertentu.

“Majlis Presiden izinkan Anwar teroka jumlah daripada kumpulan dan parti lain yang dirasakan munasabah dengan parameter, bukan satu cek kosong.

“(Kebebasan itu diberi) dengan parameter yang kita boleh tanggungjawab bersama, kalau boleh ambil kerajaan.

“... Kerana kita akan hadapi pilihan raya umum ke-15, apa akan kita jawab kepada rakyat,” kata Salahuddin.

Beliau juga menegaskan, PH akan menjadi tunjang kepada gabungan besar itu dan Anwar kekal memimpin mereka.

“Gabungan besar itu kita cadang PH jadi tunggak, bukan orang lain memimpin. Jelas perjanjian dalam PH masih utuh, pemimpin PH masih Anwar,” tegas Salahudin lagi.

Idea untuk membentuk gabungan besar pembangkang itu dicetuskan selepas Anwar gagal menggembleng sokongan majoriti untuk menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Ia rentetan daripada pengumuman ahli Parlimen Port Dickson sejak Oktober bahawa beliau mempunyai sokongan kuat untuk mengambil alih kerajaan.

Pembangkang kemudian mengumumkan akan melancar undi tidak percaya ke atas Muhyiddin melalui belah bahagi ke atas Belanjawan 2021 peringkat dasar pada bulan lalu.

Undi belah bahagi tersebut bagaimanapun tidak diadakan atas arahan Anwar, yang kemudian mengumumkan undian masih dapat dilaksanakan di peringkat jawatankuasa.

Usaha pembangkang melancar undi belah bahagi seterusnya di peringkat jawatankuasa juga gagal, dan Belanjawan 2021 seterusnya diluluskan dengan undian 111-108 di Dewan Rakyat.

Kelulusan itu menamatkan ujian keabsahan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada peringkat itu.

Bagaimanapun Anwar menegaskan kemenangan Muhyiddin dalam ujian tersebut dengan majoriti tipis menunjukkan kerajaan Perikatan lemah dan tidak mendapat keyakinan.

Susulan itu, timbul gesaan dari Amanah dan DAP agar pembangkang membina kekuatan baharu. – 25 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen