DR Mahathir Mohamad dalam ucapannya sempena sambutan Hari Krismas berkata beliau berharap vaksin Covid-19 berkesan supaya kehidupan dapat kembali kepada normal.
“Sudah hampir setahun kita berdepan dengan pandemik ini.
“Harapan tinggi diletak kepada vaksin yang mungkin dapat mengembalikan kehidupan yang normal seperti yang biasa kita lalui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata sekatan dan kekangan akibat Covid-19 yang tidak dapat dielak turut dialami oleh rakyat Malaysia di dalam beberapa perayaan lain, termasuk Krismas yang akan diraikan esok.
Beliau berkata semua orang perlu menguatkan semangat dan yakin bahawa di sebalik segala cabaran dalam pandemik Covid-19 akan akhirnya berlalu.
“Memang benar, sambutan kali ini di dalam keadaan yang tidak sesempurna seperti tahun-tahun yang lalu.
“Sementara menunggu harapan ini tercapai perlu kita perkuatkan semangat supaya rasa tertekan dan sedih tidak menyelubungi kita.
“Kita perlu punya keyakinan bahawa disebalik setiap kegelapan pasti ada cahaya yang akan menerangi kehidupan,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau berharap mereka yang meraikan Krismas menemukan kegembiraan dan ketenangan bersama keluarga dan orang tersayang.
“Hasmah dan saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucap selamat menyambut Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian.
“Semoga kemanusiaan kita terserlah dan membawa cahaya kegembiraan yang lebih terang di perayaan ini,” katanya.
Putrajaya mengumumkan ia memeterai urusniaga dengan Pfizer untuk pembelian 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer-BioNTech.
Satu lagi perjanjian turut ditandatangani dengan AstraZeneca bagi mendapatkan 6.4 juta dos vaksin. – 24 Disember, 2020.
Komen