JUMLAH jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 100,000 kes hari ini selepas 1,581 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 100,318 kes sementara kes aktif kini 18,773.
Beliau berkata hanya dua kes import dilaporkan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata Selangor terus melaporkan kes tertinggi untuk sembilan hari berturut-turut selepas mencatatkan 491 kes dalam tempoh 24 jam.
Katanya, Kuala Lumpur negeri kedua paling tinggi melaporkan kes iaitu 379, diikuti Sabah dengan 249 kes.
Kluster penjara dan pusat tahanan menyumbangkan 270 kes, katanya.
Pihak berkuasa kesihatan turut mengesan empat kluster baharu.
Sementara itu, katanya 1,085 pesakit pulih daripada koronavirus dan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh 24 jam.
Jumlah itu menjadikan kes pulih daripada virus itu kini 81,099.
Dua kematian dilaporkan hari ini, dengan kedua-dua kes di Sabah.
Dr Noor Hisham berkata salah seorang mangsa ialah remaja perempuan berusia 15 tahun yang menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Ini menjadikan kematian akibat Covid-19 kepada 446 kes.
Sementara itu, 102 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi, dengan 45 memerlukan bantuan alat pernafasan. – 24 Disember, 2020.
Komen