TENGKU Razaleigh Hamzah mengkritik keputusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyertai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dianggapnya memalukan dan aneh.
Zahid adalah antara pemimpin parti yang menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN dan Presiden Bersatu minggu lalu.
“Saya malu. Aneh apabila dia terima menyertai majlis presiden. Umno bukan sebahagian daripada PN pada mulanya,” katanya kepada pemberita selepas forum yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara di Kajang.
Mengulas lanjut Tengku Razaleigh berkata Umno membenarkan beberapa ahlinya menjadi sebahagian daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan politik berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari.
“Itu sahaja. Untuk memastikan kestabilan dan tidak berada di sana selamanya,” tambahnya.
Mesyuarat yang diadakan pada minggu lalu itu dihadiri oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Maximus Johnity Ongkili.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak Joseph Salang Gandum, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah Edward Dagul, Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif Paul Igai, Setiausaha Agung MIC Asojan Muniyandy dan Setiausaha Agong Parti Solidariti Tanah Airku Guan Dee Koh Hoi.
Tengku Razaleigh sudah lama meminta agar Umno tidak terus menyokong Bersatu dan PN, malah bersiap sedia untuk pilihan raya akan datang. – 24 Disember, 2020.
Komen