SYABAS kepada sekumpulan orang muda yang menganjurkan Kongres Anak Muda Malaysia 2017 atau KAMM2017 selama dua hari mulai esok 13 Mei yang bertujuan “menghimpunkan anak muda daripada semua latar belakang bagi membincangkan hala tuju dan masa depan negara kita yang tercinta”.
Kehadiran golongan muda amat penting dalam ruang awam Malaysia berikutan penentuan masa depan negara yang selama ini ditetapkan elit politik semakin hambar.
Saya bukan lagi orang muda. Namun biologi pernah menjadikan saya seorang anak muda pada suatu ketika dulu. Pada saat itu saya juga punya harapan, impian dan idealisme.
Jadi, saya harap suara anak muda dalam KAMM2017 benar-benar mencerminkan kesegaran idea dan tuntutan, dan bukan mengulangi retorik lama. Malah, golongan muda dalam KAMM2017 perlu mengelak daripada berlagak dewasa atau tua dengan meniru suara, lagak dan cara lama.
Apa yang saya maksudkan ialah:
- “Don’t reinvent the wheel” – tidak perlu membuang masa mencipta sesuatu yang sudah ada.
- Suarakan pandangan dengan jelas, padat dan pendek, tidak perlu hujah panjang berjela penuh bunga bahasa yang tidak membawa apa-apa makna.
- Suarakan dengan tegas apa yang tersemat di hati, tidak perlu “menjaga hati” sesiapa, terutama pihak yang selama ini menutup mulut, mengunci lidah dan mengunci hati orang muda.
- Berani tangani isu yang selama ini dikatakan sensitif – tidak perlu “self-censorship” hal perbezaan kaum, gender, agama dan wilayah.
- Jangan ikatkan diri dengan politik agama dan kaum – tidak perlu guna hujah agama untuk menutup suara rasional orang lain, dan perlu berani pecahkan tembok yang selama ini dikongkong penguasa agama dan politik kaum.
Ini tidak bermakna anak muda perlu kurang ajar atau biadab. Jika masih tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebiadaban, bererti anak muda belum bersedia untuk tampil ke hadapan membuat tuntutan hak.
Mengimbas kembali impian saya dulu, dan melihat hakikat hari ini, rasanya generasi saya gagal mencapai cita-cita Malaysia sebagai negara toleran, adil dan saksama. Saya menganggap generasi saya tidak berjaya memenuhi cita-cita Rukunegara sejak ia diperkenalkan pada 1970:
“Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara satu cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.”
Memang benar sejak 1970 negara berjaya dibangunkan daripada segi fizikal tetapi ia meninggalkan kesan buruk perbandaran yang tidak tersusun, pencemaran alam sekitar, dan kegilaan kebendaan. Memang rakyat bertambah pendapatan mereka melalui kemajuan ekonomi tetapi jurang semakin meluas di antara kaya dan miskin, dan ia bukan lagi jurang kaum tetapi pemisahan kekayaan yang meruncing.
Malah, cita-cita perpaduan rakyat dan masyarakat adil sudah jauh terpelanting apabila pimpinan politik berjaya mengheret rakyat ke kancah politik perkauman dan keagamaan yang sempit tafsirannya.
Harapan saya kepada KAMM2017 adalah agar ditumpukan kepada cita-cita dan tuntutan golongan muda, dan jangan mudah teralih pandangan dengan agenda politik kaum dan agama.
Saya ingin melihat suara muda menuntut hak yang sepatutnya mereka nikmati sejak Rukunegara diperkenalkan hampir setengah abad yang lalu, antaranya:
1. Hak untuk mendapat pekerjaan yang layak, gaji yang adil, perlindungan kerja yang menyeluruh di semua peringkat sektor pekerjaan.
2. Penyediaan rumah mampu milik yang bermutu tinggi (dan bukannya kotak yang dinamakan rumah) untuk golongan muda, khususnya yang baru berkeluarga.
3. Sistem pendidikan percuma atau separa percuma mulai sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, di mana pembiayaan boleh dibuat melalui sistem yang sama seperti perkhidmatan kesihatan percuma. Ini dapat mengelakkan beban siswazah menanggung hutang biaya pendidikan selepas berdekad selesai belajar.
4. Sistem pendidikan yang memastikan guru dan pensyarah benar-benar layak dan mempunyai kemahiran mengajar. Tahap pendidikan perlu ditingkatkan manakala bidang yang diajar perlu diperluaskan. Sekolah dan universiti bukan pusat propaganda kaum dan agama; tiada sekatan untuk bersuara.
5. Menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Malah boleh diturunkan sehingga 16 tahun jika perlu, kerana undang-undang membenarkan perkahwinan pada usia 16, iaitu 16 tahun dianggap sudah dewasa dan berani serta mampu bertanggungjawab.
6. Menggalakkan usaha merapatkan hubungan sesama rakyat Malaysia yang semakin dipisahkan oleh tafsiran dan peruntukan undang-undang, agar tiada rasa curiga antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
7. Mengkaji semula “affirmative action” untuk memastikan hanya yang benar benar layak mendapat bantuan, dan mengikut keperluan; dan bukannya mengikut warna kulit atau agama.
Ini hanya segelintir idea yang terfikir sekarang. Sudah tentu golongan muda mempunyai lebih banyak tuntutan, dan juga keberanian untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tuntutan mereka.
Pada masa sama, jika ada wanita yang layak menerajui pimpinan muda, maka lelaki harus akur, dan jangan cuba guna alasan agama atau adat untuk memperlekehkan mereka yang layak. Begitu juga jika yang layak itu daripada kaum bukan majoriti atau agama majoriti, maka kepimpinan adalah hak mereka.
Anak muda harus berani mencabar status quo. Jika “taboo” ini gagal dipecahkan, nampaknya golongan muda Malaysia memerlukan masih banyak masa untuk membawa perubahan, terutamanya dalam diri sendiri. – 12 Mei, 2017.
* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen