LIM Guan Eng mengkritik alasan diberikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengapa Singapura memperoleh vaksin Covid-19 lebih awal berbanding Malaysia, adalah kerana isu sumber kewangan.
“DAP menolak alasan bodoh yang Malaysia tidak ada sumber kewangan seperti Singapura untuk membuat pembelian awal vaksin itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Alasan seperti itu boleh diterima jika kos vaksin itu RM100 bilion dan bukannya RM2.1 bilion seperti dilaporkan. Apa sangat RM2.1 bilion berbanding pakej rangsangan Prihatin kerajaan Perikatan Nasional (PN) bernilai RM305 bilion tahun ini dalam menangani kesan negatif Covid-19 terhadap ekonomi?,” kata setiausaha agung DAP itu.
Lim tidak percaya Kementerian Kewangan enggan menyediakan dana itu lebih awal bagi pembelian vaksin berkenaan.
Beliau turut menggesa kementerian itu menjelaskan perkara berkenaan.
“Kalau betul begitu keadaannya, maka tindakan kedekut seperti itu yang enggan menyediakan RM2.1 bilon atau RM3 bilion adalah kesilapan besar dan lebih tidak cekap berbanding penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch baru-baru ini,” katanya.
Bekas menteri kewangan itu berkata rakyat Malaysia perlu bersatu untuk mempersoalkan mengapa dana tidak disediakan lebih awal kerana ia membolehkan kerajaan memperoleh vaksin lebih awal dan bukannya dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Musuh terbesar negara dan rakyat ialah Covid-19. Walaupun rasuah dan ketidakcekapan juga musuh negara, tidak syak lagi pandemik global ini ancaman terbesar kepada kesihatan awam dan ekonomi,” katanya.
Khairy semalam berkata negara seperti Singapura dan Kanada dapat membuat pembelian lebih awal kerana bajet mereka lebih besar.
Putrajaya menyediakan RM2.05 bilion (AS$504.4 juta) bagi mendapatkan vaksin Covid-19 bagi memberi suntikan kepada 82.8% populasi.
Kos itu termasuk perjanjian dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca selain tiga lagi urusniaga yang belum dimuktamadkan.
Putrajaya juga mengadakan rundingan dengan Sinovac dari China dan CanSinoBIO selain Gamaleya National Centre di Rusia untuk pembelian vaksin. – 24 Disember, 2020.
Komen