Bekas banduan dari Thailand antara dikuarantin di Kelantan


Dari Julai sehingga kini, seramai 600 individu direkodkan sebagai individu di bawah pengawasan dan menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020. 

TIGA lelaki yang baru sahaja dibebaskan daripada penjara di Thailand adalah antara 20 individu yang ditempatkan di Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri selama 10 hari bermula semalam.

Penyelaras Pusat Kuarantin Kelantan Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee berkata, daripada maklumat yang diperolehi, ketiga-tiga lelaki berusia dalam 20 hingga 60-an itu ditahan di negara jiran, atas kesalahan masuk secara haram dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara itu.

“Sebaik dibebaskan mereka kembali ke negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dah Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Mereka adalah individu di bawah pengawasan (PUS) dan menjalani ujian pengesanan Covid-19 hari ini dan ujian kali kedua pada hari kelapan tempoh kuarantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Shafie, selain Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri, sebuah hotel di Tunjong, Kota Bharu menempatkan 20 lagi PUS, yang kebanyakkannya terdiri daripada pekerja sektor minyak dan gas.

Katanya seramai 26 kakitangan daripada pelbagai agensi ditempatkan di kedua-dua pusat kuarantin itu untuk menjalankan proses kawalan, keselamatan dan memeriksa tahap kesihatan PUS.

Sementara itu, Shafie berkata dari Julai sehingga kini, seramai 600 individu direkodkan sebagai PUS dan telah menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan di Kelantan. – Bernama, 24 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen