AHLI Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mendesak ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerana tidak puas hati dengan isu pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman bank.
Dalam kenyataan ringkas yang disiarkan di Facebook, Puad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) belum menunaikan janji mengenai penangguhan pinjaman dan pengeluaran KWSP yang dibuat semasa perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat bulan lalu.
Beliau menegaskan tiada salahnya dengan langkah itu (untuk berhenti menyokong Muhyiddin) kerana ia demi kepentingan rakyat.
“Muhyiddin memang lega kerana Bajet 21 telah lulus. Tetapi rakyat belum lega.”
“Janji mempermudahkan I-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya.”
“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat.”
“Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup. Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” katanya dalam catatan di Facebook itu.
PN kini mempunyai 113 ahli Parlimen dan jika dua atau tiga yang menarik sokongan mereka, kerajaan akan runtuh.
Sentimen Puad mengenai kelonggaran cara pengeluaran KWSP mula dipersoalkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib juga mengingatkan kerajaan untuk menunaikan janjinya kepada Barisan Nasional (BN) semasa penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen.
BN sebelum ini berkata ia hanya akan menyokong belanjawan dengan dua syarat - lanjutan moratorium pinjaman bank sehingga 30 Jun tahun depan dan membenarkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 KWSP mereka. – 24 Disember, 2020.
Komen