1 juta penduduk AS terima suntikan vaksin Covid-19


Warga tua adalah antara kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19. AS mensasarkan 100 juta orang diimunisasi pada akhir suku pertama 2021, dan 100 juta lagi pada suku kedua. – Gambar AFP, 24 Disember, 2020.

LEBIH sejuta orang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Amerika Syarikat (AS), kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Robert Redfield pada Rabu.

Redfield berkata ia adalah pencapaian awal yang penting dengan lebih sejuta penduduk menerima dos pertama vaksin Covid-19 sejak ia dimulakan 10 hari lalu.

Ketua Penasihat Operasi Warp Speed, Moncef Slaoui berkata objektif untuk mengimunisasi 20 juta rakyat pada bulan ini “tidak mungkin dapat dicapai.”

Tetapi beliau berkata AS masih mensasarkan 100 juta orang diimunisasi pada akhir suku pertama 2021, dan 100 juta lagi pada suku kedua.

Sebanyak 3 juta dos dihantar minggu lalu ke seluruh AS, dengan vaksin pertama diluluskan, yang dibangunkan oleh Pfizer dan BioNTech, diberikan pada 14 Disember.

Minggu ini, sasarannya adalah untuk mengagihkan 6 juta dos vaksin keluaran Moderna dan 2 juta lagi Pfizer.

AS adalah negara paling teruk dilanda di dunia dan sedang mengalami musim sejuk yang melampau.

Lebih 320,000 orang dijangkiti virus tersebut, dan kemungkinan akan menjadi penyebab utama kematian pada 2020 selepas penyakit jantung dan barah.

Penduduk di pusat rawatan jangka panjang dan pekerja penjagaan kesihatan menjadikan kumpulan awal penerima, sementara fasa seterusnya disasarkan kepada individu berusia lebih 75 tahun dan pekerja kritikal. – AFP, 24 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen