INDONESIA mencatatkan 7,514 lagi kes positif baharu Covid-19, ketika harapan kini tertumpu kepada menteri kesihatan yang baharu dilantik, bagi menangani jangkitan virus itu yang kini terus meningkat menjadi 685,639 kes.
Budi Gunadi Sadikin, 56, hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Terawan Agus Putranto.
“Saya percaya kalau kita bersatu, bersama-sama dengan pemerintah daerah, dengan seluruh komponen bangsa yang ada, kita bisa (boleh) membangun sistem layanan kesihatan publik yang kuat dan siap mengatasi masalah SARS CoV-2 ini,” kata Budi Gunadi di Istana Presiden Bogor.
Enam menteri baharu termasuk Budi Gunadi, yang terbabit dalam rombakan kabinet Presiden Joko Widodo mengangkat sumpah jawatan di Istana Presiden di Bogor, hari ini.
Berdasarkan data di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 151 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah korban keseluruhan kini meningkat kepada 20,408 orang.
Jakarta terus menjadi provinsi yang merekodkan kes positif tertinggi berjumlah 167,842 tambahan sebanyak 1,954 kes baharu, manakala Jawa Timur mencatatkan kes kematian keseluruhan paling ramai iaitu 5,353 orang, dengan 50 lagi korban dilaporkan dalam tempoh 24 jam. – Bernama, 23 Disember, 2020.
Komen