KEMENTERIAN Kesihatan bimbang dengan penularan kes koronavirus dalam komuniti di Selangor berikutan negeri itu terus mencatat kes harian Covid-19 tertinggi.
“Kami bimbang kes jangkitan menular ke komuniti,” kata Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.
Ketua pengarah kesihatan berkata, kementerian telah menjangkakan kes meningkat kerana kepadatan penduduk yang tinggi di negeri ini dan pergerakan penduduk.
Selangor terus mencatatkan kes Covid-19 tertinggi untuk lapan hari berturut-turut selepas merekodkan 535 kes dalam tempoh 24 jam lalu.
Dr Noor Hisham turut mengingatkan penduduk untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang mana ia akan bertindak sebagai vaksin untuk mencegah jangkitan.
Katanya kementerian juga akan mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes dalam komuniti.
Setakat ini Selangor merekodkan 27,218 kes manakala Sabah masih mendahului dengan 35,166. – 23 Disember, 2020.
Komen